JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan sindiket pembekal pekerja asing dan menahan 127 warga asing termasuk dalang utamanya serta merampas wang tunai RM776,614 dalam operasi di sini malam tadi.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka diiberkas sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dalam Ops Serkap melibatkan tiga lokasi sekitar daerah ini pada pukul 7.20 malam.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama lebih kurang dua bulan, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi berjaya menahan dua lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’.
“Mereka telah menyalah guna Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk membekalkan pekerja warga asing kepada kilang-kilang di sekitar Johor Bahru.

“Turut ditahan masing-masing seorang lelaki warganegara Bangladesh dan Myanmar yang dipercayai sebagai ‘Penyelia’,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, sebuah rumah yang sarat memuatkan seramai 121 pekerja dalam keadaan berhimpit dan panas sedang berkumpul menunggu kehadiran dalang utama untuk agihan gaji.
Katanya, hasil pemeriksaan awal seramai 123 pekerja asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mohd Darus memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dewasa Bangladesh, 14 lelaki dewasa Myanmar dan enam lelaki dewasa warga India.

Selain itu katanya, turut ditahan termasuk masing-masing seorang lelaki dewasa Pakistan, Sri Lanka dan Indonesia.
“Begitu juga 78 wanita Myanmar, sembilan wanita dewasa Indonesia, tiga wanita India dan seorang wanita Sri Lanka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun,” katanya.
Dalam serbuan itu, pasukan operasi menyita 450 slip gaji pekerja dikepil bersama-sama sampul berisi wang tunai berjumlah RM776,614, dua buah komputer riba, senaskah pasport Nepal, dua mesin kiraan wang dan buku cek bank.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla Cross yang digunakan oleh sindiket ini juga disita,” tambahnya.
Kesemua yang ditangkap ditahan reman selama 14 hari kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, katanya.
Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut JIM.
“JIM Johor akan memastikan sindiket-sindiket agen haram akan terus digempur secara berterusan bagi mengekang kegiatan yang berniat mengambil kesempatan demi kepentingan diri terhadap kemasukan serta penempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















