Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng bermesyuarat. Foto arkib MALAYSIA GAZETTE

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

SEMASA berbual di media sosial, seorang rakan bertanya kepada saya: “Mengapa ketika Pas berada di bawah kepimpinan Presiden Ustaz Fadzil Noor, dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ketua Dewan Ulama Pas, termasuk ketika Pas bekerjasama dengan DAP dalam kerangka politik yang lebih luas, tidak begitu kuat kedengaran bahawa perpecahan politik Melayu merupakan suatu “kecemasan” yang akan menyebabkan dominasi politik Melayu-Islam terancam?

Pertanyaan itu kelihatan mudah tetapi semakin difikirkan, semakin besar persoalan yang muncul.

Pas ketika itu tetap sebuah parti Islam. Amarhum Ustaz Fadzil Noor tidak meninggalkan perjuangan Islam kerana membina kerjasama politik dengan parti yang berbeza ideologi. Amarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat juga tidak melihat setiap
bentuk kerjasama dengan bukan Islam sebagai penyerahan kepentingan Islam.

Dalam Barisan Alternatif, Pas boleh berada dalam suatu kerangka politik bersama DAP dan parti-parti lain sambil mengekalkan identiti serta perjuangannya sendiri. Justeru, persoalannya bukan sama ada Pas dahulu kurang menekankan Islam.

Sebaliknya, persoalannya ialah: Mengapa pada ketika Pas dipimpin oleh tokoh-tokoh ulama seperti Fadzil Noor dan Nik Aziz, perbezaan politik Melayu tidak sentiasa dibingkaikan sebagai suatu ancaman eksistensial kepada Melayu-Islam? Apakah yang berubah selepas itu — kedudukan Melayu dan Islam atau naratif tentang siapa dan apa yang dikatakan mengancam Melayu dan Islam?

Maka di sinilah media sosial mengubah sifat politik kecemasan Melayu-Islam. Naratif yang dahulunya memerlukan ceramah, pentas politik dan media tradisional kini boleh bergerak hampir tanpa henti melalui TikTok, Facebook, YouTube, WhatsApp dan pelbagai ruang digital.

Sesuatu kenyataan boleh dipotong daripada konteks, satu peristiwa boleh diperbesarkan manakala isu yang kompleks boleh dipermudahkan menjadi beberapa ungkapan yang mudah menyentuh emosi: Melayu kehilangan kuasa, Islam semakin terancam, DAP semakin dominan atau kerajaan hari ini tidak cukup mempertahankan kepentingan Melayu-Islam.

Dalam pembingkaian seperti ini, DAP tidak lagi berfungsi semata-mata sebagai sebuah parti lawan. Ia boleh dijadikan simbol kepada “yang lain” atau “musuh” Islam — bayangan tentang apa yang dikhuatiri akan berlaku sekiranya kuasa politik Melayu terus berpecah. Ketakutan terhadap kehilangan kuasa kemudian memperoleh wajah yang mudah dikenali.

Namun sasaran naratif itu tidak berhenti pada DAP. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran penting dalam pertarungan politik ini. Oleh itu di sinilah muncul paradoks yang lebih menarik kerana Anwar sendiri seorang Melayu dan orang Islam. Maka pertarungan tersebut bukan lagi sekadar Melayu berhadapan bukan Melayu, lebih jauh lagi perebutan tentang siapakah yang berhak menentukan makna kepimpinan Melayu-Islam.

Jika penyatuan Melayu-Islam benar-benar bermaksud menyatukan orang Melayu, mengapa sebahagian orang Melayu perlu terlebih dahulu diletakkan di luar lingkungan penyatuan itu?

Bagaimana pula dengan orang Melayu yang menyokong PKR, Amanah atau parti-parti lain? Adakah mereka kurang Melayu hanya kerana memilih jalan politik yang berlainan? Jika seorang pemimpin Melayu-Islam yang mengetuai kerajaan berbilang kaum boleh diletakkan di luar imaginasi penyatuan Melayu-Islam, maka istilah “penyatuan” itu sendiri perlu diperiksa semula.

Mungkin yang sedang dibina bukan penyatuan seluruh Melayu-Islam, tetapi pembentukan suatu blok kuasa politik tertentu atas nama penyatuan Melayu-Islam.

Pilihan raya negeri memberikan ruang terbaik untuk menguji persoalan ini. Pengalaman Melaka serta perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan bahawa bahasa penyatuan menjadi lebih rumit apabila berhadapan dengan realiti pembahagian kerusi, calon, kepimpinan kerajaan dan siapa yang harus menjadi dominan.

Di sinilah slogan bertemu kuasa. Penyatuan mudah dilaungkan apabila terdapat musuh bersama. Penyatuan menjadi jauh lebih sukar apabila kuasa perlu dibahagikan sesama sendiri. Jika perpecahan Melayu benar-benar merupakan suatu kecemasan kepada survival Melayu-Islam, maka perpecahan dalam parti-parti Melayu sendiri seharusnya menimbulkan kecemasan yang sama. Namun politik menunjukkan parti boleh bekerjasama, berpecah, membentuk pakatan baharu dan bertukar lawan apabila kepentingan serta strategi berubah.

Maka mungkin istilah yang lebih tepat ialah ‘penyatuan bersyarat’. Melayu mesti bersatu — tetapi di bawah siapa? Parti mana menjadi teras? Siapa menentukan calon? Siapa mendapat kerusi? Siapa menjadi Menteri Besar?. Dan siapa perlu mengalah?

Media sosial pula menjadikan pertanyaan-pertanyaan rumit ini kurang kelihatan. Algoritma lebih mudah mengangkat kandungan yang membangkitkan reaksi daripada perbahasan panjang tentang dasar. Ketakutan, kemarahan dan sentimen identiti boleh bergerak jauh lebih pantas daripada penjelasan mengenai ekonomi, tadbir urus atau pembaharuan institusi.

Akhirnya terbentuk suatu rangkaian politik yang kuat: ancaman melahirkan kecemasan, kecemasan membangkitkan emosi, emosi
menggerakkan penyatuan dan penyatuan boleh diterjemahkan menjadi kuasa.

Keresahan masyarakat Melayu tentunya tidak semuanya dicipta. Sebahagiannya lahir daripada ketidakpastian ekonomi, perubahan sosial dan kebimbangan terhadap masa depan. Persoalannya ialah bagaimana keresahan sebenar itu dipilih, diperbesarkan dan diberikan sasaran politik tertentu.

Justeru ketika masyarakat terus diajak bertanya siapakah yang dikatakan sedang mengancam kuasa Melayu, satu pertanyaan yang jauh lebih penting mungkin tenggelam:

Siapakah sebenarnya yang gagal mengurus amanah Melayu? Pertanyaan tentang siapakah yang gagal memguruskan amanah Melayu membawa kita kepada paradoks paling besar dalam politik kecemasan Melayu-Islam.

Ketika masyarakat diajak berasa cemas tentang perpecahan undi Melayu, kekuatan DAP atau kedudukan kerajaan pimpinan Anwar, adakah rasuah, salah urus, ketirisan dan kelemahan tadbir urus institusi yang diwujudkan untuk kepentingan Melayu dan umat Islam diberikan darjah kecemasan yang sama?

Di sinilah makna “mempertahankan Melayu” perlu diperiksa semula. Pendedahan mengenai kelemahan institusi seperti Tabung Haji dan Felda tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai usaha memalukan Melayu. Jika terdapat persoalan mengenai pengurusan, integriti dan akauntabiliti, penyiasatan dan pendedahan sepatutnya dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyelamatkan amanah masyarakat.

Namun dalam politik identiti, makna boleh diterbalikkan. Pendedahan salah urus boleh dibingkaikan sebagai membuka aib Melayu. Penyiasatan boleh digambarkan sebagai usaha memburukkan institusi Melayu. Pertanyaan mengenai akauntabiliti pula boleh dialihkan kepada persoalan mengapa sesuatu isu dibangkitkan sekarang dan siapa yang mendapat keuntungan politik daripadanya.

Akibatnya, masyarakat tidak lagi bertanya: “Adakah berlaku salah urus dan siapakah yang harus bertanggungjawab?”. Sebaliknya, perdebatan dialihkan kepada: “Mengapa mereka mahu memalukan institusi Melayu?”. Ini merupakan perubahan makna yang sangat besar.

Mendedahkan kerosakan sebuah rumah bukan bermaksud membenci rumah tersebut. Menyembunyikan kerosakan atas alasan mahu menjaga nama baik akhirnya boleh menyebabkan seluruh rumah menjadi lebih parah. Begitu juga institusi Melayu.
Mendedahkan salah urus institusi Melayu bukan memalukan Melayu. Membiarkan salah urus atas nama menjaga maruah Melayu itulah yang akhirnya merugikan Melayu.

Sebab itulah pendedahan dan penelitian terhadap institusi seperti Tabung Haji dan Felda perlu dibaca melampaui pertarungan parti. Institusi yang membawa amanah masyarakat seharusnya mempunyai piawaian pengurusan, integriti dan akauntabiliti yang lebih tinggi, bukan dilindungi daripada penelitian hanya kerana ia mempunyai nilai simbolik kepada orang Melayu atau umat Islam.

Media sosial sekali lagi memainkan peranan penting. Penjelasan mengenai laporan kewangan, tadbir urus, audit atau dapatan penyiasatan memerlukan masa untuk difahami. Sebaliknya, naratif bahawa “institusi Melayu sedang diserang” jauh lebih mudah dipendekkan menjadi video, slogan dan hantaran yang membangkitkan kemarahan.

Akhirnya, kemarahan terhadap pendedahan boleh menjadi lebih besar daripada kemarahan terhadap salah urus yang mungkin didedahkan. Maka di sinilah kita perlu mengemukakan pertanyaan yang mungkin lebih penting daripada persoalan siapa menguasai kerajaan: Mengapa masyarakat lebih mudah diajak bertanya “siapa akan mengambil kuasa Melayu?” berbanding “siapa telah gagal mengurus amanah Melayu?”. Dua pertanyaan itu menghasilkan dua bentuk politik yang berbeza.

Pertanyaan yang pertama ialah politik identiti — politik yang sentiasa mencari ancaman di luar kelompok. Pertanyaan yang kedua ialah politik amanah — politik yang berani menuntut pertanggungjawaban termasuk daripada kelompok sendiri.

Jika penyatuan Melayu-Islam benar-benar mahu mempertahankan kepentingan masyarakat, ukurannya tidak boleh berhenti kepada jumlah kerusi yang dimenangi parti Melayu, siapa menjadi Menteri Besar atau siapa menguasai kerajaan. Ukurannya mestilah kehidupan Melayu itu sendiri.

Apakah kemiskinan berkurangan? Apakah anak muda memperoleh pekerjaan berkualiti? Apakah keluarga semakin mampu memiliki rumah? Apakah pendidikan meningkatkan mobiliti sosial? Apakah institusi Melayu diurus secara profesional?
Apakah rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa berkurangan?

Dengan demikian di sinilah kita harus membezakan antara kuasa Melayu dengan kesejahteraan Melayu. Orang Melayu boleh mempunyai kuasa politik yang besar tetapi sebahagian masyarakatnya masih bergelut dengan tekanan ekonomi. Melayu boleh menguasai banyak institusi namujn penguasaan itu tidak membawa makna jika amanah, profesionalisme dan akauntabiliti gagal dipertahankan.

Maka mungkin kecemasan Melayu yang sebenar perlu ditakrifkan semula. Kecemasan Melayu bukan semata-mata apabila orang Melayu mengundi parti yang berlainan. Kecemasan ialah apabila anak Melayu mempunyai pendidikan tetapi tidak mempunyai mobiliti ekonomi. Kecemasan ialah apabila pendapatan tidak mengejar kos kehidupan. Kecemasan ialah apabila institusi yang memegang amanah masyarakat gagal diurus dengan baik bahkan kecemasan yang lebih besar ialah apabila rasuah dan salah urus dinilai berdasarkan siapa yang melakukannya, bukannya berdasarkan perbuatan itu sendiri.

Institusi Raja masih kukuh. Islam mempunyai kedudukan dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu mempunyai kedudukannya. Orang Melayu merupakan kelompok majoriti dan mempunyai kekuatan politik yang besar. Penyatuan Melayu-Islam tentunya mempunyai makna jika ia bermaksud penyatuan untuk memerangi kemiskinan, memperkukuh pendidikan, membina ekonomi, menjaga institusi, menolak rasuah dan menegakkan amanah. Penyatuan seperti itu tidak memerlukan masyarakat hidup dalam ketakutan yang berterusan terhadap “yang lain”.

Ini kerana ancaman terhadap Melayu tidak semestinya datang daripada bukan Melayu. Ancaman terhadap Islam tidak semestinya datang daripada bukan Islam. Kadang-kadang ancaman yang lebih besar muncul apabila kuasa berada di tangan
sendiri tetapi amanah kehilangan makna.

Akhirnya saya kembali kepada pertanyaan rakan saya di media sosial tadi. Mungkin persoalan terbesar politik Melayu hari ini bukan lagi sama ada Melayu perlu bersatu. Sebaliknya kita perlu bertanya: Mengapa Melayu perlu sentiasa diyakinkan bahawa mereka sedang berada dalam kecemasan?

Bahkan yang lebih penting: Penyatuan Melayu-Islam untuk apa — untuk membina kesejahteraan dan mempertahankan amanah atau sekadar untuk mendapatkan dan mempertahankan kepentingan individu tertenu atas kuasa atas nama Melayu-Islam?

Ismail Hashim Yahaya

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas ise semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast