Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kuasa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal dihadkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Mara 2026 yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kira-kira 80 peratus kandungan akta baharu itu memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus korporat termasuk pengasingan kuasa yang jelas antara lembaga pengarah dan pengurusan.

Menurut beliau, di bawah akta baharu itu, pengerusi hanya bertanggungjawab mempengerusikan lembaga pengarah atau majlis serta menentukan perkara berkaitan dasar.

Ia berbeza dengan Akta Mara 1966 yang memberikan kuasa besar kepada pengerusi sehingga melangkaui kuasa eksekutif pengurusan.

“Boleh dikatakan akta baharu yang dicadangkan ini, 80 peratus adalah berkenaan dengan tadbir urus korporat Mara yang tidak pernah dibincangkan di era 60-an,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, RUU berkenaan telah mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri minggu lalu dan akan menggantikan Akta Mara 1966 yang sudah berusia 60 tahun.

Selain mengehadkan kuasa pengerusi, akta baharu itu akan menetapkan kriteria kelayakan dan kesesuaian bagi pelantikan Ahli Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan mereka.

Tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketat, selain mewajibkan penubuhan Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pelaburan, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus serta Jawatankuasa Risiko Mara.

Jawatankuasa Syariah pula akan diwujudkan buat pertama kali bagi memastikan operasi Mara mematuhi prinsip syariah.

Mengimbas langkah pembaharuan yang dilaksanakan sejak dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, Asyraf wajdi berkata, beliau menubuhkan pasukan khas diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim bagi menilai tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan agensi itu.

Katanya, langkah itu dibuat susulan pelbagai isu terdahulu termasuk pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan Mara Inc mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.

Turut dibangkitkan ialah kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) sekitar 2016 hingga 2017, kerugian jutaan ringgit daripada beberapa projek, kelemahan kutipan hutang pinjaman serta isu kartel yang didakwa menguasai tender perolehan Mara termasuk kontrak makanan bernilai puluhan juta ringgit.

Susulan itu, beberapa langkah telah dilaksanakan termasuk memperketat disiplin kewangan, menjalankan audit forensik terhadap anak syarikat, menyelaraskan Audit Dalaman Mara dan Mara Corp secara berpusat serta merombak bahagian perolehan.

Asyraf Wajdi berkata, perubahan struktur menerusi akta baharu itu diperlukan bagi mengelakkan berulangnya salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran yang boleh menjejaskan Mara.

“Semua ini dilaksanakan agar tiada lagi kes dan insiden yang terkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, juga ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast