Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Sebanyak 219 soalan termasuk 107 soalan asal dan 112 soalan tambahan telah dijawab sepanjang persidangan Dewan Negeri Selangor yang berlangsung selama sembilan hari.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata, sepanjang persidangan itu, kira-kira 54 jam masa diperuntuk bagi membahaskan pelbagai agenda termasuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030.

Menurutnya, bagi perbahasan RS-2 yang bermula pada 7 Ogos hingga 12 Ogos lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin memperuntuk masa satu jam tujuh minit untuk membentangkan rancangan berkenaan.

“Jumlah pembahas adalah 40 Ahli Dewan Negeri (ADN) dengan keseluruhan masa perbahasan selama 713 minit iaitu 11 jam 53 minit.

“Masa pembahas yang tertinggi adalah daripada Ketua Pembangkang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Weng San berkata, keseluruhan perjalanan persidangan kali ini turut menyaksikan pelbagai rang undang-undang, penyata dan usul dibahaskan oleh wakil rakyat kerajaan serta pembangkang.

Bagi Rang Undang-Undang Pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, perbahasan melibatkan 10 ADN dengan tempoh keseluruhan 114 minit atau satu jam 54 minit.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Pindaan terhadap Enakmen Mahkamah Syariah melibatkan 11 ADN dengan tempoh perbahasan selama 171 minit atau dua jam 51 minit.

Rang Undang-Undang Pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam pula melibatkan 11 ADN dengan keseluruhan masa perbahasan selama 192 minit atau tiga jam 12 minit.

Dalam pada itu, Weng San berkata, penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) InfraGo berkaitan pemerkasaan tatacara pengendalian dan penyelarasan pelaksanaan peruntukan Marris oleh Infrasel dibahaskan lapan ADN selama 87 minit.

“Penyata JPK InfraGo pula berkaitan pengurusan dan kesiapsiagaan bekalan air semasa musim kemarau oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula dibahaskan dua ADN selama 19 minit,” katanya.

Beliau berkata, penyata JPK Sejahtera berhubung operasi loji tepi UTI 1 pula melibatkan seorang pembahas selama tujuh minit.

Usul ADUN Muda berkaitan isu kesihatan pula dibahaskan dua ADN selama 20 minit.

Dalam perkembangan berkaitan, Weng San turut menyentuh perbahasan isu mobiliti yang diketengahkan ADUN khususnya berkaitan keperluan memperkukuh kemudahan dan insentif pengangkutan awam untuk golongan berkenaan.

Beliau berkata, antara tujuh langkah segera yang perlu dilaksanakan adalah mencari kaedah untuk menambah baik insentif pengangkutan awam kepada golongan muda.

Katanya, pendekatan itu tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemberian subsidi, sebaliknya pandangan golongan muda yang menjadi pengguna aktif pengangkutan awam perlu didengar secara langsung.

“Kita perlu mendengar mereka kerana mereka masih aktif menggunakan pengangkutan awam. Kita perlu tahu setelah mereka bekerja dan berkeluarga bagaimana kerajaan boleh terus melancarkan kemudahan mobiliti untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa berkaitan mobiliti akan menganjurkan sesi meja bulat bersama pengguna pengangkutan awam termasuk golongan muda bagi mendapatkan maklum balas secara terus.

Beliau turut berharap ADN Batu Tiga serta wakil rakyat lain dapat memberikan sokongan terhadap usaha berkenaan.

Weng San kemudiannya menangguhkan persidangan Dewan Negeri Selangor sehingga suatu tarikh dan masa yang akan ditetapkan kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast