JOHOR BAHRU – Johor akan mencontohi Belanda dalam menguruskan anjing dan kucing liar bagi memastikan penempatan serta penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selamat dan berperikemanusiaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan anjing dan kucing liar terbabit.
“Pendekatan seperti yang dilaksanakan di Belanda yang mengkasikan anjing-anjing supaya tidak beranak dan sebagainya selain dijaga dari segi pemakanan.
“Jadi kita kena kerjasama dengan NGO-NGO yang akan tempatkan anjing-anjing liar ini di satu tempat (pusat perlindungan) daripada dibiarkan sampai jadi anjing gila, kurus kering dan terbiar,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Johor Smart City Forum 2026 di Tuanku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) di sini, hari ini.
Katanya, anjing-anjing liar tersebut akan dikembirikan dan dijaga dengan baik sebelum diserahkan kepada pihak yang mahu memeliharanya.
Ketika ini katanya, hanya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mempunyai pusat perlindungan yang menempatkan anjing-anjing liar sekitar daerah ini.
“Anjing-anjing yang ditangkap akan diberikan makanan, dirawat dan dijaga sebelum boleh ditawarkan untuk diadopsi.
“Saya sendiri akan pergi melihat pusat berkenaan pada September ini kerana kemudahannya hampir siap,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman berinteraksi dengan pencinta haiwan ketika kempen sebelum ini turut mendorong cadangan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil pendekatan lebih tersusun dalam mengurus anjing dan kucing terbiar. – MalaysiaGazette
















