KUANTAN – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara bagi tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan peruntukan kepada pendidikan anak Pahang itu sebagai pelaburan demi masa depan negara dan kini sudah menjadi sebahagian tanggungjawab kerajaan negeri.
“Seramai 122 mahasiswa anak Pahang yang diraikan hari ini akan melanjutkan pengajian di New Zealand dan Mesir menerima sumbangan yang merupakan RM1,000 setiap seorang.
“Pada tahun ini, penerima datang daripada pelbagai institusi termasuk Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), UCYP University, Kolej Yayasan Pahang (KYP), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Inisiatif Makmur Pahang (IM) Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara Tahun 2026, Wang Pendahuluan Pelajar Pengajian ke Morocco dan Program KYP di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Program terbabit turut meraikan seramai 20 orang pelajar Program KYP – Yarmouk Jordan yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam) dan 15 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Pengajian Islam di Universiti Al-Qarawiyyin di Morocco.
Kesemua mereka turut menerima sumbangan wang pendahuluan berjumlah USD1,000 daripada Yayasan Pahang.
“Saya ambil kesempatan ini untuk berpesan kepada mereka supaya belajar rajin-rajin. Bawa nama negeri Pahang dan pulang dengan kejayaan yang cemerlang. Dalam masa sama saya minta mereka kuatkab mental dan fizikal kerana banyak cabaran ketika belajar di luar negara.
“Bukan sahaja dari segi akademik, tapi juga suasana tempat belajar, ditambah pula terpaksa meninggalkan keluarga, ibu bapa dan masakan dari tanah kelahiran,” katanya lagi.
Kesemua pelajar berkenaan dijangka berangkat ke luar negara pada 6 September dan 23 September depan. – MalaysiaGazette
















