KULAI – Lebih 400 perwakilan DAP Johor akan menentukan pendirian mereka berhubung hala tuju parti itu dalam Kerajaan Perpaduan dalam persidangan parti Ahad ini.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan yang diberi kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan pandangan dan pemahaman masing-masing mengenai hala tuju parti.
“Kita tidak ada satu pendirian di negeri Johor kerana ini adalah satu undi. Jadi, kami berikan kebebasan kepada delegasi atau wakil persidangan pada Ahad ini untuk membuat keputusan.
“Semalam, kita ada buat satu sesi dialog bersama Setiausaha Agung, Anthony Loke untuk menerangkan tentang isu ini, tetapi saya rasa kita akan berikan kebebasan kepada perwakilan untuk membuat keputusan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan peruntukan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya di sini, hari ini.
DAP akan mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas, Ahad ini bagi membolehkan perwakilan menentukan pendirian sama ada kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Anthony Loke sebelum ini berkata, satu usul akan dibentangkan untuk diputuskan lebih 4,000 perwakilan yang hadir.
Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, DAP Johor akan menilai dengan apa juga keputusan yang dibuat pada persidangan berkenaan.
“Johor memang salah satu negeri yang mempunyai perwakilan agak tinggi, walaupun bukan yang paling tinggi kerana Selangor, Perak dan Pulau Pinang juga mempunyai ramai perwakilan.
“Saya percaya mereka merupakan ahli yang boleh mewakili cawangan masing-masing serta memahami perjuangan dan prinsip parti.
“Saya percaya mereka akan membuat keputusan terbaik untuk hala tuju parti dan juga negara,” katanya.
Sementara itu, SK Murni Jaya dipilih sebagai salah sebuah Sekolah Angkat Madani dan menerima peruntukan RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai penambahbaikan kemudahan sekolah.
Peruntukan itu antaranya digunakan bagi menyediakan dua unit papan pintar, penambahbaikan lampu dan keceriaan, sistem pembesar suara di dewan, dua unit penghawa dingin, 10 unit iPad, satu set robot sumo serta dua unit televisyen pintar untuk kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Ini turut membabitkan penambahbaikan keceriaan taman prasekolah bagi memberi manfaat kepada 189 murid sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette
















