Seorang wanita maut, lima cedera termasuk seorang lelaki OKU dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Lebuhraya Utara-Selatan, Kluang hari ini.

KLUANG – Sebuah van yang hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori rosak diparkir di tepi Lebuh Raya Utara Selatan di sini tengah malam tadi menjadi punca kemalangan yang mengorbankan seorang wanita dan tiga lagi cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kemalangan tersebut yang melibatkan van Toyota Hiace dan lori Isuzu berlaku pukul 12.13 tengah malam menghala ke utara.

Seorang wanita maut, lima cedera termasuk seorang lelaki OKU dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Lebuhraya Utara-Selatan, Kluang hari ini.

“Van berkenaan dipandu Misfitiriah Basar, 41, bersama-sama suami berusia 38 tahun serta tiga anaknya berumur 12 hingga 14 tahun serta adiknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 36 tahun.

“Lori berkenaan pula dipandu lelaki berumur 37 tahun. Sebelum kejadian lori mengalami kerosakan yang ketika itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Air Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu van maut manakala lima penumpang lain cedera.

Beliau berkata, akibat kerosakan itu pemandu lori memasang segitiga amaran di belakang lori namun lima minit kemudian van berkenaan dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh belakang lori berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, Misfitiriah tersepit ditempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya.

Menurut Bahrin, suami serta anak lelaki mangsa berusia 12 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian tersebut mengakibatkan lima penumpang van cedera dan pemandunya maut.

Katanya, adik suami mangsa yang merupakan lelaki OKU berusia 36 tahun bersama-sama dua anaknya berusia 13 dan 14 tahun cedera parah di kepala dan bahagian badan.

Ujarnya, mangsa bersama-sama keluarga yang berasal dari Jalan Pantai Taman Bayu Puteri 2, Johor Bahru dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga pagi tadi.

“Mereka dirawat di Zon Merah, Wad Kecemasan HEBHK manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast