Nicole Soo Lik Yee (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas kesalahan menjadi akaun keldai bagi transaksi haram.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM500 terhadap seorang pelajar undang-undang kerana membenarkan akaun banknya digunakan sebagai akaun keldai bagi transaksi haram.

Hakim Madihah Zainol menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Nicole Soo Lik Yee, 22, membuat pengakuan salah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, penuntut terbabit didakwa secara tidak jujur mengalihkan wang berjumlah RM525 milik seorang lelaki berusia 32 tahun ke dalam akaun bank miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Idaman 8/10, Taman Nusa Idaman, Iskandar Puteri, pukul 4.31 petang, pada 13 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh kini sedang mengikuti pengajian undang-undang di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.

Beliau berkata, penuntut itu juga ditanggung oleh datuknya selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast