Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar.

KUALA LUMPUR –  Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa kerajaan campur tangan bagi menyelamatkan Biara Gua Sakyamuni yang berusia lebih seabad di Gunung Kanthan, Chemor, Perak daripada ancaman perobohan dan pengusiran.

Presidennya, Datuk N Sivakumar berkata, pihaknya menyokong rayuan pengurusan biara, sami serta kumpulan berkaitan yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu berkenaan.

Anwar juga merupakan Ahli Parlimen Tambun, kawasan yang merangkumi Gunung Kanthan.

Biara Gua Sakyamuni atau Sakyamuni Caves Monastery berdepan ancaman perobohan dan pengusiran susulan pertikaian berkaitan aktiviti kuari simen oleh sebuah syarikat swasta di kawasan berkenaan.

Sivakumar berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan permohonan supaya biara itu bersama kawasan sekitarnya di Gunung Kanthan diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara bagi memastikan khazanah berkenaan terus terpelihara.

“Dengan tempat ibadat ini telah diduduki lebih 100 tahun, tempat yang mempunyai nilai keagamaan dan sejarah ini perlu dijaga serta dipelihara daripada sebarang ancaman.

“Mahima menyeru kerajaan supaya berbincang dengan semua pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat melindungi rumah ibadat dan kawasan Gunung Kanthan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivakumar, kepentingan Gunung Kanthan tidak terhad kepada kewujudan biara berkenaan kerana kawasan itu juga merupakan antara 12 bukit batu kapur terakhir di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Katanya, kawasan itu turut menjadi habitat kepada beberapa spesies flora dan fauna terancam, menjadikan usaha pemeliharaannya penting dari sudut warisan dan alam sekitar.

Beliau berkata, pertikaian mengenai kedudukan biara berkenaan telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu susulan aktiviti kuari di kawasan tersebut.

Pada September 2023, sebuah pengeluar simen dilaporkan memenangi rayuan di mahkamah untuk mengusir biara itu dari tanah berkenaan, namun usaha tersebut mendapat bantahan kumpulan warisan dan pemuliharaan yang mahu nilai budaya serta ekosistem unik Gunung Kanthan dipertahankan.

Sivakumar berkata, kerajaan perlu mengkaji secara menyeluruh kesan aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan dan memastikan kepentingan ekonomi tidak mengatasi usaha memelihara alam sekitar serta rumah ibadat yang mempunyai nilai sejarah.

“Pewartaan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Negara boleh menjadi satu garis panduan dalam menjaga alam sekitar selain memberikan perlindungan kepada rumah ibadat yang telah lama wujud dalam persekitaran seperti ini.

“Kerajaan perlu mencari penyelesaian yang memberi kesan positif dan pada masa sama memastikan kawasan berkenaan dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan nilai kebudayaan, sejarah serta keunikan Gunung Kanthan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap biara berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast