AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berani memberi peluang kepada wanita muda daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya, terutama selepas dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu masih belum menyaksikan wakil wanita muda AMK diberi peluang bertanding.
Wakil Negeri Sembilan, Dr Dharshinee Suresh Kumar berkata, kepimpinan wanita bukan sekadar isu berkaitan wanita, sebaliknya ia merupakan isu penting membabitkan masa depan negara.
Menurut beliau, wanita muda yang sudah aktif di akar umbi, bekerja dalam parti dan bersama rakyat wajar diberikan peluang membuktikan kemampuan mereka di medan pilihan raya.
“Saya bertanya dengan penuh rasa hormat, sampai bila kita mahu menunggu?
“Kalau kita benar-benar mahu melahirkan pemimpin wanita muda, kita tidak boleh hanya memberikan mereka pentas untuk berucap, ruang untuk mengurus program atau tanggungjawab ketika pilihan raya.
“Kita mesti berani mengangkat mereka sebagai calon,” katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan pada Kongres Nasional AMK 2026 di MITC di sini, hari ini.

Dharshinee berkata, peluang itu bukan bermakna wanita muda diberikan kerusi semata-mata kerana faktor jantina, sebaliknya calon yang dipilih mesti mempunyai kualiti, integriti, rekod perjuangan, dekat dengan rakyat dan berpotensi untuk menang.
Katanya, sekiranya terdapat wanita muda yang memenuhi semua kriteria berkenaan, usia dan jantina tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan mereka.
“Kita perlu sampai ke satu tahap apabila senarai calon diumumkan, anak muda tidak lagi bertanya, ‘Ada tak wanita muda yang diberi peluang’?
“Sebaliknya mereka berkata, ‘Sudah tentu ada. Kerana Keadilan percaya kepada kepimpinan wanita muda’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dasar ekonomi wanita juga tidak boleh digubal tanpa mengambil kira pengalaman wanita yang bekerja, berniaga dan pada masa sama membina keluarga.
Katanya, masa depan Malaysia juga perlu memastikan wanita muda berada di barisan hadapan dalam kepimpinan dan pembangunan negara.
“Kepimpinan wanita bukan isu wanita. Kepimpinan wanita adalah isu negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















