AYER KEROH – Politik tidak seharusnya hanya berorientasikan kemenangan pilihan raya, sebaliknya perlu memberi penyelesaian kepada masalah rakyat sehingga mereka benar-benar merasai perubahan dalam kehidupan.
Ketua Biro Keanggotaan Majlis Pimpinan Wanita Negeri Pulau Pinang, Shalini Morithi berkata, kemenangan sebenar hanya berlaku apabila rakyat yang memilih sesebuah kerajaan dapat merasakan kehidupan mereka berubah menjadi lebih baik.
Menurut Ketua Penerangan Wanita PKR Cabang Bukit Mertajam itu, reformasi tidak seharusnya sekadar berkisar mengenai siapa yang berada di Putrajaya, tetapi mesti diterjemahkan sehingga memberi kesan secara langsung kepada rakyat.
“Kalau kita menang pilihan raya tetapi rakyat masih pening fikir kos sara hidup, masih susah nak bayar bil, masih risau tentang pendidikan dan keselamatan anak-anak, masih datang kepada kita dengan masalah yang sama, bolehkah kita kata kita benar-benar sudah menang?
“Bagi saya, belum. Kemenangan sebenar ialah apabila rakyat yang memilih kita boleh kata, ‘Ya. Hidup aku ada berubah’,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita PKR Pusat sempena Kongres Wanita Nasional, di sini hari ini.
Shalini berkata, berdasarkan pengalamannya berdepan masyarakat, kebanyakan rakyat tidak memerlukan ceramah politik yang panjang, sebaliknya mahu mengetahui sama ada masalah mereka mampu diselesaikan atau tidak.
Katanya, antara isu yang sering dihadapi rakyat termasuk kos sara hidup, pekerjaan, perumahan, pendidikan, keselamatan anak-anak dan kesihatan, yang mungkin kelihatan kecil kepada sesetengah pihak tetapi memberi kesan besar kepada sesebuah keluarga.
“Rakyat yang datang kepada kita bukan nak dengar ceramah politik panjang. Mereka datang sebab mereka ada masalah. Dan akhirnya mereka nak tahu satu benda sahaja, ‘Boleh tolong selesaikan atau tidak?’,” katanya.
Dalam pada itu, Shalini berkata, PKR juga perlu berani mengakui kelemahan dan belajar daripada keputusan pilihan raya tanpa menyalahkan rakyat yang tidak memilih parti itu.
Beliau berkata, setiap keputusan pilihan raya membawa mesej yang perlu diteliti bagi mengenal pasti perkara yang terlepas pandang, kekurangan parti serta perkara yang cuba disampaikan rakyat.
“Kalau kita menang, kita raikan. Kalau kita kalah, kita belajar. Jangan cepat cari siapa salah dan jangan anggap rakyat yang tak pilih kita sebagai rakyat yang tak faham.
“Kalau kita mahu rakyat berubah bersama kita, kita sendiri mesti bersedia untuk berubah,” katanya.
Shalini turut menegaskan Wanita PKR perlu diberikan ruang lebih besar dalam proses membuat keputusan kerana pengalaman mereka berdepan masalah masyarakat mempunyai nilai dalam menentukan dasar.
Katanya, wanita tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penggerak jentera pilihan raya, sebaliknya perlu dikenali sebagai golongan yang mendengar masalah rakyat, membawanya ke peringkat sewajarnya dan berusaha mencari penyelesaian.
“Kita semua mahu menang pilihan raya. Saya pun mahu PKR menang. Tetapi kalau kita mahu menang untuk jangka panjang, jangan kejar undi sahaja. Kejar kepercayaan rakyat.
“Undi datang pada hari pilihan raya. Tetapi kepercayaan dibina setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, selepas kembali ke negeri, cabang, ranting dan komuniti masing-masing, anggota parti perlu membawa satu persoalan utama iaitu masalah rakyat yang boleh mereka bantu selesaikan.
“Pilihan raya menentukan siapa yang memerintah. Tetapi rakyat menentukan siapa yang layak terus memimpin,” katanya. – MalaysiaGazette
















