Pemimpin bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Bersama Malaysia, Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan kekecewaan apabila mendakwa kejadian serangan terhadap anaknya dan isterinya yang menerima ugutan menerusi WhatsApp tidak menunjukkan perkembangan.

Malah, katanya, kes tersebut seolah-olah `mati begitu sahaja’ meskipun sentiasa menunggu individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Saya akan tunggu 13 Ogos setiap tahun sehinggalah orang yang menyerang dan dalang di belakang mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Tambahnya, kes tersebut sehingga kini juga masih belum menemui penyelesaian.

“Serangan seperti ini mungkin akan dilupakan oleh pihak berkuasa dan mereka yang memegang amanah, tetapi ia tidak mungkin dilupakan oleh mangsa,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mendakwa beliau pernah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri mengenai individu yang disyaki menjadi dalang kejadian itu.

Namun, katanya, apabila beliau meminta Menteri Dalam Negeri memberikan jawapan secara terbuka di Parlimen, permintaan tersebut ditolak.

Beliau berkata, kejadian itu bukan sekadar serangan terhadap keluarganya, sebaliknya mencetuskan kebimbangan bahawa kaedah ugutan dan serangan sedemikian boleh digunakan terhadap rakyat lain.

“Kalau ia boleh berlaku kepada anak seorang bekas menteri seperti saya di khalayak ramai, kaedah menyerang dan mengugut seperti ini akan digunakan terhadap rakyat biasa,” katanya.

Pada 13 Ogos tahun lalu, Rafizi menerusi sidang media mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang.

Kemudian pada hari yang sama berlaku serangan terhadap anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada jam 2 petang.

Dilaporkan, polis telah merakam keterangan 19 individu, selain mendapati nombor telefon yang digunakan untuk mengugut isteri Rafizi didaftarkan atas nama seorang warga asing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast