KUALA LUMPUR – Sembilan kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching merekodkan bacaan IPU paling tinggi, iaitu 167, diikuti Samarahan dan Serian (163), Sarikei dan Bintulu (157), Sri Aman (154), Mukah dan Sibu (151) manakala Samalaju (126).
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Media semalam melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, berkata kemerosotan itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah susulan pengesanan titik panas yang ketara di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), imej satelit mengesan 150 titik panas di Kalimantan dan 11 di Sumatera, Indonesia manakala 25 titik panas dikesan di dalam negara, iaitu 22 di Sarawak dan tiga di Sabah. – MalaysiaGazette
















