MELAKA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan politik di Semenanjung Tanah Melayu tidak boleh lagi meminggirkan Sabah dan Sarawak, selain menganggap masyarakat Cina, India, orang asli serta golongan minoriti sebagai kelompok sampingan.
Menurutnya, prinsip berkenaan menjadi antara asas perjuangan parti berkenaan sejak penubuhannya yang mahu membawa perubahan kepada landskap politik negara.
“Politik di Semenanjung Tanah Melayu ini tidak boleh pinggirkan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“Dan, politik di kalangan teras Melayu ini tidak boleh menganggap rakan-rakan Cina, India, orang asli, dan minoriti itu sebagai sampingan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di sini, hari ini.
Kongres bertemakan “Memugar Reformasi, Membina Madani”, kongres tahun inikali ini disertai 2,394 perwakilan, selain lebih 2,000 pemerhati berdaftar.
Turut hadir kira-kira 2,700 perwakilan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR sebagai pemerhati selain Kongres 26 wakil diplomatik dari 19 negara, termasuk enam Duta Besar.
Anwar berkata, perjuangan PKR sejak awal bukan sesuatu yang mudah kerana parti itu diasaskan ketika berdepan pelbagai cabaran dan tentangan.
Menurutnya, parti itu memilih untuk ‘menongkah arus’ dengan membawa gagasan politik yang tidak berasaskan kaum serta memberi ruang yang sewajarnya kepada semua wilayah dan kelompok masyarakat.
“Ini terbentuk seolah-olah menongkah arus. Malaysia tidak boleh tertegak sebagai parti yang tidak berdasarkan kaum. Tapi kita menongkah arus.
“Dan, parti-parti Semenanjung jarang bicara soal Sabah, Sarawak melainkan menjelang pilihan raya. Tapi kita berdegil!” katanya.
Anwar berkata, PKR sejak awal mahu membentuk parti yang mempunyai teras Melayu tetapi pada masa sama membawa gagasan Malaysia yang merangkumi seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan wilayah.
Katanya, kekuatan politik di Semenanjung perlu diseimbangkan dengan keprihatinan terhadap Sabah dan Sarawak yang turut menjadi sebahagian penting dalam pembinaan negara. – MalaysiaGazette
















