KOTA TINGGI – Polis menahan tujuh lelaki warga indonesia termasuk seorang yang berperanan sebagai ‘transporter’ ketika mahu pulang ke negara asal dalam serbuan di tepi jalan berhampiran Campsite Tanjung Punggai, Bayu Damai, Pengerang di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan serbuan di tepi jalan itu pukul 11 malam.
“Seramai tujuh lelaki warganegara Indonesia ditahan termasuk seorang yang berperanan sebagai transporter, mereka disyaki mahu pulang ke negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek yang berusia 26 hingga 38 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas kenderaan iaitu jenis Proton X50 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.
Semua tangkapan dan rampasan katanya, dibawa balik ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 26a Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOK) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan migran untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Kota Tinggi 07-8831222. – MalaysiaGazette
















