JOHOR BAHRU – Cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menggantikannya dengan akta baharu akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada generasi muda terutama mahasiswa di universiti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka semalam itu adalah satu inisiatif yang positif.
“Mengapa AUKU hendak dimansuhkan? Banyak sebabnya, tetapi satu daripadanya adalah sebab politik kerana Anwar menyedari bahawa sokongan generasi muda pengundi berumur 18 tahun hingga 25 tahun terhadap PKR amat rendah.
“Alasan lain ialah mungkin Anwar yang rajin membaca buku sejarah menyedari sebuah parti politik yang tidak mendapat sokongan orang muda akan merosot dan akhirnya parti itu hidup segan mati tak mahu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Presiden PKR itu dalam tempoh 10 tahun pertama era reformasi lebih banyak berada dalam penjara dan sedar golongan muda iaitu lelaki dan wanita yang membangunkan PKR.
Katanya, golongan berkenaan yang gigih mengibarkan idea dan panji-panji perjuangan reformasi sehingga PKR tersebar ke seluruh negara.
Dakwanya, hanya PKR satu-satunya parti politik yang mempunyai cabang di seluruh 222 kawasan Parlimen, di seluruh negara iaitu di semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor mungkin menyedari tiada lagi tokoh-tokoh pemuda dan srikandi yang pernah berada di baris hadapan dalam perjuangan reformasi semasa kongres PKR di Dewan MITC di Ayer Keroh, Melaka yang berlangsung semalam sehingga hari ini.
“Tiada lagi pahlawan-pahlawan muda satu waktu dulu seperti Ezam Mohd Noor, Tian Chuah, Lokman Noor Adam, Rafizi Ramli, Nik Nazmi dan Latifah Koya, sekadar menyebut beberapa nama.
“Mereka yang namanya disebut di sini, yang berani, bijak dan bersedia berkorban untuk perjuangan, semuanya sudah meninggalkan perjuangan Keadilan manakala Nurul Izzah, `puteri reformasi’ yang menang dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR memilih untuk mengundurkan diri,” katanya.
Justeru beliau berpendapat, pengumuman memansuhkan akta tersebut dalam kongres tersebut adalah tepat.
“Sekali lagi Anwar yang minat membaca buku sejarah dan falsafah menginsafi bahawa jika di tanah besar China terdapat gerakan orang muda yang dipanggil Gerakan 4 Mei, manakala di Indonesia wujud Sumpah Pemuda Indonesia dan di Semenanjung Tanah Melayu pula wujud Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam.
“Jadi dalam konteks inilah maka keputusan Anwar selaku Presiden PKR untuk memansuhkan AUKU itu perlu diberi sokongan terutama dari kalangan generasi muda,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















