PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak persepsi bahawa parti itu mengalami kekalahan berturut-turut dalam tiga pilihan raya negeri (PRN), dengan menegaskan prestasi parti itu di Johor dan Negeri Sembilan masih kuat.
Beliau berkata, walaupun mengakui DAP mengalami keputusan yang mengecewakan dalam satu dari pilihan raya negeri terbabit, pencapaian parti di Johor dan Negeri Sembilan perlu dinilai secara lebih menyeluruh.
“Memang kita mengakui kita ditolak secara total 8-0 (di Sabah), tetapi Johor kita menang enam kerusi.
“Ini sesuatu yang perlu kita iktiraf prestasi kita walaupun berkurangan tetapi enam kerusi,” katanya ketika ucapan penggulungan Persidangan DAP 2026, di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, prestasi DAP di Negeri Sembilan juga tidak boleh dianggap sebagai kegagalan keseluruhan walaupun Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerajaan negeri.
“DAP Negeri Sembilan berjaya memenangi sembilan dari 11 kerusi yang ditandingi,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu masih signifikan jika dibandingkan dengan sejarah prestasi DAP di negeri berkenaan sejak 2008.
“Baru-baru ini (PRN Negeri Sembilan), betul kita kalah dua tetapi kita masih menang sembilan,” katanya.
Anthony Loke turut menonjolkan kemenangan calon DAP, S. Mugunthan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya yang memperoleh majoriti 5,701 undi.
“Calon MIC dan calon Urimai (Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia) yang bertanding atas tiket Bersatu masing-masing gagal memberikan saingan kepada DAP di kawasan itu, malah calon Urimai dilaporkan hilang deposit,” katanya.
Menurut Anthony, DAP juga mencatat prestasi kukuh di kawasan Greater Seremban apabila memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen yang dirujuknya sebagai kawasan Seremban dan Rasa.
“Ini sesuatu yang bukannya kegagalan kita. Walaupun kita gagal mempertahankan kerajaan Negeri PH di Negeri Sembilan, tetapi DAP boleh dikatakan masih mempunyai prestasi yang membanggakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















