MELAKA – Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh menegaskan persaingan politiknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan hubungan dengan adiknya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Dr Solehin dan Dr Akmal masih mempunyai hubungan yang baik meskipun kini berada dalam parti berbeza dan bakal berdepan persaingan politik di Bemban.
“Politik bukannya agama dan hubungan adik-beradik adalah lebih penting berbanding politik. Kami sangat baik. Anak dia anak saya, anak saya anak dia. Emak saya pun ada hadir.
“Walaupun orang kata banyak di luar media saya bergaduh atau apa, tidak. Kami tidak bergaduh, kami sangat baik. Dia adik yang baik, saya pun abang yang baik. Semua okay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon Bersama bagi PRN Melaka di Melaka Baru, di sini malam tadi.
Dr Solehin yang juga bekas ahli Parti Amanah Negara (Amanah) sudah lama terbabit dalam kerja politik dan kemasyarakatan, termasuk bersama Dr Akmal sebelum adiknya itu aktif dalam politik kepartian.
Katanya, mereka juga pernah bersama dalam pelbagai aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), justeru tidak timbul isu siapa membayangi siapa dalam kempen PRN nanti.
“Sebenarnya saya sudah bergerak politik lebih kurang sama dengan dia tetapi saya bukannya dalam parti yang sama.
“Sebelum ini, saya dalam Parti Amanah dan saya telah meletakkan jawatan daripada parti itu. Di tempat saya pun, di Merlimau dan Bemban, kami sama-sama membantu.
“Kami banyak buat kerja NGO. Sebelum Akmal pun berpolitik, kami sudah buat kerja NGO. Jadi tidak ada masalah siapa shadow siapa. Kami nak berkhidmat. Mana yang terbaik, rakyat boleh menilai dan memilih,” katanya.
Dr Solehin berkata, keputusan memilih bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dibuat berdasarkan pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis Perbandaran Jasin yang pernah menjaga zon berkenaan.
“Sebenarnya saya bekas Ahli Majlis Perbandaran Jasin dan saya jaga zon di Bemban. Jadi kita nak bergerak awal, nak menyantuni rakyat awal supaya mengenal parti kita,” katanya.
Terdahulu, Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli menghadiri pengumuman 15 calon Bersama daripada keseluruhan 28 DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
DUN yang akan ditandingi ialah Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput dan Klebang.
Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, dan Serkam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Abang Dr Akmal Saleh antara 15 calon parti Bersama bertanding PRN Melaka
Senarai Calon Bersama & DUN
N01 KUALA LINGGI (MASJID TANAH)
Dato’ Ruzsyahriman Bin Jenal
N06 REMBIA (ALOR GAJAH)
Muhamed Aman Akil Bin Abdul Talib
N07 GADEK (ALOR GAJAH)
Laveen a/l Balaprabhakaran
N08 MACHAP JAYA (ALOR GAJAH)
Prasanth Kumar Brakasam
N11 SUNGAI UDANG (TANGGA BATU)
Mohd Ridzuan Bin Abdul Rahman
N13 PAYA RUMPUT (TANGGA BATU)
Abdul Rashid Bin Abu Bakar
N14 KELEBANG (TANGGA BATU)
Young Jie Yu
N15 PENGKALAN BATU (HANG TUAH JAYA)
Goh Han Koon
N16 AYER KEROH (HANG TUAH JAYA)
Muhammad Muhaimin Lau Bin Abdullah
N17 BUKIT KATIL (HANG TUAH JAYA)
Dr. Aliza binti Che Amran
N19 KESIDANG (KOTA MELAKA)
Dr. Bryan Kek Kit Hun
N20 KOTA LAKSAMANA (KOTA MELAKA)
Ethan Lim Zhi Hao
N23 TELOK MAS (KOTA MELAKA)
Muhammad Hazwan Bin Mustafa
N24 BEMBAN (JASIN)
Dr. Muhammad Solehin Bin Saleh
N26 SERKAM (JASIN)
Muhamad Saffie Bin Md Yasan

















