TANJUNG KARANG – Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya didedahkan kepada umum lebih awal selepas ia disiapkan pada tahun 2023.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mendedahkan laporan itu baru-baru ini selepas menyimpannya selama tiga tahun seolah-olah seperti peribahasa habis madu, sepah dibuang.
Menteri Besar Kedah itu mendakwa, Pakatan Harapan hanya mengambil kesempatan menggunakan Barisan Nasional selama ini untuk menjadi kerajaan untuk mendapat kuasa mentadbir negara.
“Dasar Pas jelas siapa buat salah tangkap dan bicarakan serta hukum. Tiada siapa dilindungi Pas, itu pendirian Pas. Tetapi motif kena tidak buka (RCI) awal-awal dulu?
“Benda sudah ada kenapa sedut madu dulu, lepas itu sepah dibuang sebab hendak ambil kepentingan jadi kerajaan, bersenang-lenang dengan kuasa.
“Nampak orang itu hendak pergi (tinggal kerajaan), ugut mereka, itu sahaja politik Pakatan Harapan ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Selangor di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pas Pusat dan Pelancaran Dana Pas, Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Abd Halim Tamuri.
Sementara itu, Abd Halim berkata, Pas Selangor menyasar untuk bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, parti itu sudah bersedia mentadbir dan mengambil alih kerajaan negeri menerusi pengenalan EHSAN 2030 yang merupakan kerangka besar Pas untuk membawa Selangor ke arah lebih cemerlang pada masa depan.
“Kita akan melancarkan EHSAN 2030 agar Selangor Darul Ehsan itu lebih dirasai buat rakyat Selangor. Selama ni kita banyak bantu kemenangan negeri adik beradik kita, maka kali ini mari kita menangkan negeri kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras.
Pada PRU-15, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) membentuk Kerajaan Negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perikatan Nasional (PN) pula menang 22 kerusi di mana Bersatu sebanyak 12 kerusi dan Pas memenangi 10 kerusi. – MalaysiaGazette
















