JOHOR BAHRU – Sebuah akhbar British, Daily Mail menyifatkan kemudahan dan infrastruktur yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) setaraf dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
Daily Mail melontarkan pandangan tersebut selepas aksi persahabatan antara Harimau Selatan itu dengan kelab gergasi EPL, Chelsea pada 9 Ogos lalu.
Hasil interaksi wakil Daily Mail dengan para penyokong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, mendapati mereka cukup kagum dengan fasiliti dan infrastruktur kelab gergasi selatan tanah air itu.
Malah, akhbar tersebut melihat SSI dan kemudahan pusat latihan dilihat setaraf dengan fasiliti yang dimiliki kelab-kelab EPL.
Menariknya, komen sama turut dibuat jurulatih JDT, Xisco Munoz semasa tiba di Johor buat kali pertama pada 2025.
Bekas jurulatih Sheffield Wednesday itu mengakui fasiliti JDT mengingatkan beliau kepada fasiliti kelab-kelab EPL ketika membimbing Watford dari 2020 hingga 2021.
“Fasiliti (JDT) sama seperti bila saya berada di EPL (ketika bersama Watford),” katanya seperti dilaporkan akhbar The Observer.
Fasiliti JDT dijangka terus dinaik taraf termasuk pembinaan pusat latihan baharu yang dirasmikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Mei lalu.
Projek tersebut dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk siap.
Apabila pusat latihan baharu JDT siap, pusat latihan itu akan menjadi antara fasiliti latihan bola sepak paling moden di rantau Asia. – MalaysiaGazette
















