NIBONG TEBAL – Polis sudah mengenal pasti beberapa petunjuk berhubung kes tembakan membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun di Simpang Ampat di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, beberapa individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan polis belum mempunyai bukti konkrit untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kes berkenaan.
“Petunjuk memang ada. Tapi saya tak nak cakap di sini. Bagi sikit masa lagi bagi polis untuk siasat,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program kayuhan amal anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Ipoh Superbike Club (ISBC) sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan sambutan malam Ambang Merdeka ke-69.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki baru selesai beli telur cedera ditembak di Simpang Ampat
Media pada 27 Julai lalu melaporkan, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah cedera selepas ditembak di luar deretan kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun, di sini.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku selepas lelaki terbabit dipercayai selesai bersenam di gim berhampiran sebelum singgah di sebuah kedai serbaneka di bangunan sama untuk membeli telur. – MalaysiaGazette
















