KUANTAN – Polis Bentong mengesahkan telah menerima tiga laporan berkaitan struktur patung rumah ibadat bukan islam dirosakkan di Bukit Tinggi, Bentong semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga laporan dibuat pada jam 1.51 pagi, 2.32 pagi dan 4.35 petang.
“Laporan berhubung kejadian itu dibuat seorang Pengawal Keselamatan berusia 49 tahun, seorang sami berusia 45 tahun dan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 41 tahun.
“Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan kuil dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut berlaku,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Pahang, di sini hari ini.
Menurut Azry Akmar, kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca serta pihak terlibat.
Orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat khususnya melalui media sosial yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.
Terdahulu, beberapa keping gambar dimuatnaik di media sosial memaparkan beberapa arca di Kuil Bukit Brahmarishi, Bukit Tinggi, Bentong telah dirosakkan oleh pihak yang tidak diketahui.- MalaysiaGazette
















