Suami dan bapa, Saifulnizam Sulaiman membaca doa ke atas jenazah isteri, Nur Fatima Abdullah dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam yang terlibat nahas membabitkan sebuah kereta dan lori tangki selepas proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sanggang, Temerloh. Foto MALAYSIAGAZETTE, 17 OGOS 2026.

TEMERLOH – Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, yang maut dalam tragedi lori tangki di Jalan Temerloh-Triang, Jumaat lalu belum sempat menikmati hasil projek benih ikan yang baru dimulakan awal bulan ini.

Roslina Sulaiman, kakak kepada Saifulnizam Sulaiman, 39, berkata, projek berkenaan di Kampung Gadong, Sendayan, Negeri Sembilan merupakan usaha baharu adiknya bersama arwah isteri.

Katanya, projek yang diusahakan di atas tanah milik Saifulnizam itu baru dimulakan pada awal bulan ini, dan pasangan berkenaan kerap berulang-alik dari Jerantut ke Sendayan bagi memantau perkembangan projek terbabit.

“Saifulnizam memang sudah lama terlibat dalam bidang akuakultur, lebih kurang 15 tahun.

“Sebelum ini dia menjalankan projek berkenaan di Jerantut dan awal bulan ini baru sahaja memulakan projek benih ikan di kampung kami di Sendayan.

“Urusan projek berkenaan turut menjadi antara rutin Saifulnizam bersama arwah isterinya yang sering berulang-alik untuk meninjau keadaan tapak serta memastikan projek tersebut  berjalan lancar,” kata ibu kepada dua anak ini.

Menurut Roslina, arwah Nur Fatima sering menemani adiknya menguruskan projek berkenaan, menjadikan perjalanan antara Jerantut dan Sendayan sebagai rutin mereka sejak awal bulan ini.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada dan Muhammad Fattah Aisy Naufal maut selepas Perodua Bezza yang dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel sebelum kedua-dua kenderaan terbakar di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini.

Kedua-dua beranak itu kemudian dikebumikan dalam dua liang lahad bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, hari ini selepas disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As- Sidiq. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here