Mohd Noor Helmy meninjau keadaan air berwarna biru dan berbau busuk di Kolam Tadahan Air Semabok Perdana, Duyong, Melaka.

MELAKA – Bau busuk di Kolam Tadahan Air Semabok Perdana, Duyong di sini sejak semalam disyaki berpunca daripada aktiviti pembuangan bahan terlarang ke kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan dan keputusan analisis sampel dijangka diketahui dalam tempoh tiga hari selepas dihantar ke makmal.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan mengenai keadaan kolam itu malam tadi sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik tapak pada kira-kira jam 8 pagi.

“Kemudian siasatan dilakukan Badan Kawal Selia Air (BKSA) yang sudah mengambil sampel air disyaki tercemar itu pada jam 10 pagi tadi untuk dianalisis.

Penguat kuasa Badan Kawal Selia Air (BKSA) mengambil sampel air di Kolam Tadahan Air Semabok Perdana untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Jika tiada sumber pencemaran dari kolam ditemui, kemungkinan ada bahan yang dibuang secara terus ke dalam kolam,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal secara mata kasar mendapati terdapat dua warna berbeza pada permukaan kolam iaitu biru dan hijau.

Katanya, warna hijau dipercayai berkaitan pertumbuhan alga yang boleh berlaku secara semula jadi terutama di kawasan kolam tadahan yang airnya tidak mengalir.

“Warna biru pula nampak seperti berlapis dan seakan-akan kesan cat. Bagaimanapun, bau yang dikesan tidak menunjukkan ia adalah cat.

“Sebab itu sampel perlu dihantar ke makmal untuk ujian bagi mengenal pasti bahan sebenar yang terdapat dalam air berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pencemaran di gigi kolam berkenaan menyebabkan bau busuk seperti bangkai ikan, namun tiada hidupan air didapati mati akibat pencemaran itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here