Noor Fazira didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun.

KOTA TINGGI – Seorang isteri anggota polis menangis teresak-esak sambil merayu dikenakan hukuman ringan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun dengan menggunakan akaun bank milik anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), lima bulan lalu.

Rayuan itu dibuat Noor Fazira Sinen, 31, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan mengawal akaun bank milik  anak kandungnya untuk transaksi penipuan sewaan rumah tidak wujud April hingga Mei lalu.

Noor Fazira Sinen membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.

Dalam rayuannya wanita itu berkata, dia kini hamil dan perlu menanggung lima anak termasuk seorang OKU juga menjaga ibunya yang merupakan warga emas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 dan jika gagal bayar boleh dikenakan penjara selama tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, antara tarikh 30 April hingga 22 Mei lalu di Jalan Anggerik 2/12 Taman Anggerik Tenggara Bandar Tenggara di sini, tertuduh tanpa maksud yang sah ada dalam kawalan instrumen pembayaran orang lain iaitu akaun Bank Simpanan Nasional milik anak kandungnya bagi tujuan menipu penama Anis Amera Zaini hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pada 30 April lalu pengadu telah terpedaya dalam urusan tipu rumah sewa tidak wujud melalui aplikasi Facebook yang mana pengadu membuat transaksi kewangan yang dimasukkan ke dalam akaun anak kandung tertuduh berjumlah RM1,500.

Pengadu merasa ditipu kerana tidak menerima kunci rumah sewa seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di Bandar Tenggara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast