Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin bercakap ketika ditemubual di Kota Iskandar, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 07 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran berhenti menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran kritikan kerana parti itu sendiri berdepan masalah dalaman yang lebih serius untuk diselesaikan.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, perkara itu jelas berdasarkan perbahasan perwakilan pada Kongres Nasional PKR 2026 yang dilihat banyak memberi tumpuan kepada UMNO, termasuk mempersoalkan keikhlasan parti itu dalam kerajaan Perpaduan.

“Banyak betul tumpuan mereka berikan kepada UMNO dan BN. Marah UMNO, kritik UMNO, soal keikhlasan UMNO, malah ada yang kata UMNO khianat.

“Macam UMNO-BN inilah masalah paling besar dalam PKR. Saya tak faham apa yang dibimbangkan dan dimarahkan sangat tentang UMNO,” katanya dalam Facebook beliau.

Hafiz berkata, PKR sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada kedudukan parti sendiri kerana ia mempunyai Perdana Menteri, manakala Pakatan Harapan (PH) menjadi tunjang utama Kerajaan Persekutuan.

Malah, jelasnya, selain BN, PH turut mempunyai rakan gabungan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan bersama.

“Kalau BN tak ada pun, masih boleh jadi kerajaan. Jadi daripada pening tentang UMNO, saya nasihatkan lebih elok PKR tengok dulu masalah dalam parti sendiri kerana keadaannya membimbangkan,” tegasnya.

Menurut Hafiz, PKR kini berdepan masalah dalaman yang ketara susulan pemilihan parti, termasuk keretakan dalam kepimpinan, pertembungan serta isu kesatuan dalam kalangan anggota.

“Selepas pemilihan parti, mereka perlu akui jelas ada keretakan kepimpinan. Ada pertembungan dan hilang kesatuan.

“Bekas timbalan presiden keluar parti, pimpinan kanan keluar parti, ada ahli Parlimen mengosongkan kerusi dan menubuhkan parti baharu. ahli Parlimen sendiri pula dihalang daripada menguruskan kawasan,” jelasnya.

Beliau mempersoalkan bagaimana PKR boleh mendakwa keadaan dalam parti tidak bermasalah sedangkan semakin banyak perkembangan menunjukkan sebaliknya.

“Bila orang tanya PKR okey ke? Jawapannya macam tak ada masalah. Tak ada masalah macam mana kalau seorang demi seorang keluar parti? Pimpinan kanan pun semakin berundur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz mengingatkan PKR supaya tidak meletakkan kegagalan politik PH di bahu UMNO, termasuk berkaitan perkembangan politik di Johor.

“Jangan salahkan UMNO atas kegagalan politik Pakatan Harapan sendiri. Tengok dekat Johor. PH yang buat pilihan politik sendiri.

“Takkan mana-mana sebagai pengurusi Pakatan Harapan di Johor yang gagal dalam mediasi dan strategi, termasuk cara berunding, itu pun UMNO yang dipersalahkan?” soalnya.

Hafiz menegaskan, sebarang kelemahan dalam mengatur strategi politik atau mengurus rundingan dalam PH perlu dilihat sebagai tanggungjawab kepimpinan gabungan itu sendiri, bukannya dialihkan kepada UMNO.

“Wakil PH yang gagal mengatur kelangsungan di sana. Jadi kegagalan urusan sistem dan strategi ini berpunca daripada kepimpinan siapa? Jangan asyik tuding UMNO,” katanya lagi.

Beliau berkata, PKR sepatutnya menggunakan ruang kongres untuk membincangkan masalah dalaman dan memperkukuh parti, bukannya terlalu memberi tumpuan kepada UMNO dan BN.

“Daripada pening tentang UMNO, lebih baik PKR tengok masalah dalam parti sendiri,” tegas Hafiz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast