KUALA LUMPUR – “Mengapa wujud standard berganda dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap rumah ibadat bukan Islam, khususnya kuil Hindu?,” tanya Pengerusi Urimai, P Ramasamy.
Beliau berkata, kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza bahawa Malaysia bukan sebuah rimba tanpa undang-undang pemilikan tanah adalah benar namun isu sebenar tidak boleh dilihat daripada aspek pemilikan tanah semata-mata.
Menurut Ramasamy, persoalan lebih besar ialah sama ada undang-undang diterapkan secara adil terhadap semua pihak, khususnya apabila membabitkan hak masyarakat minoriti agama.
“Undang-undang mungkin bersifat neutral, tetapi penerapannya berlaku dalam konteks perkauman dan keagamaan yang semakin tegang serta berpecah-belah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy berkata, sekiranya kerajaan menyediakan tanah yang mencukupi untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam, persoalan mengenai kesahihan dan status pemilikan tanah kuil tidak akan berlarutan.
Jelasnya, banyak kuil Hindu telah wujud sejak zaman penjajahan, namun status tanah bagi sebahagiannya masih belum diselesaikan sehingga kini.
“Bagaimanakah tanah untuk rumah ibadat bukan Islam boleh dinafikan kepada mereka sedangkan rumah-rumah ibadat tersebut telah wujud selama bertahun-tahun?” soalnya.
Beliau menegaskan, keadaan itu akhirnya memberi ruang kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengambil tindakan terhadap kuil dengan alasan struktur berkenaan ‘tidak sah’.
Tambahnya, perobohan kuil Hindu sebelum ini sering dikaitkan dengan pembangunan, manakala kini status tanah dan dakwaan ketidakabsahan pula digunakan sebagai alasan untuk tindakan penguatkuasaan.
Ramasamy mendakwa, penerapan undang-undang secara selektif menyebabkan kuil Hindu terus menjadi sasaran, terutama dalam keadaan sentimen perkauman dan keagamaan semakin meningkat.
Ujarnya, rumah ibadat bukan Islam turut menjadi sasaran kumpulan tertentu yang cuba mengambil tindakan di luar saluran undang-undang.
“Keasyikan dengan perkataan ‘haram’ atau ‘tidak sah’ telah menjadi kegemaran kumpulan berhaluan kanan dan para pengawas jalanan,” tegasnya.
Mengulas kenyataan Dr Maza, Ramasamy berkata, walaupun Mufti Perlis mempunyai pengetahuan dalam bidang agama, isu rumah ibadat bukan Islam perlu dilihat dalam konteks politik, sosial dan falsafah yang lebih luas.
Menurutnya, agensi kerajaan sebagai institusi dalam masyarakat majoriti perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang tidak dipengaruhi pertimbangan perkauman atau keagamaan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa undang-undang diterapkan secara selektif demi kepentingan politik,” dakwanya.
Ramasamy turut merujuk perobohan kuil Hindu di Rawang sebelum ini sebagai contoh yang menurutnya menunjukkan bagaimana kumpulan tertentu mengambil tindakan seolah-olah mempunyai kuasa penguatkuasaan sendiri.
Beliau berkata, masyarakat Hindu sebagai komuniti etnik dan agama minoriti tidak mempunyai kekuatan politik yang mencukupi untuk menghentikan tindakan yang disifatkannya sebagai pembulian berasaskan etnik dan agama.
Dalam pada itu, Ramasamy turut mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya masih gagal menangani isu perobohan kuil Hindu secara menyeluruh.
Tegasnya, Malaysia mungkin sering digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, namun perkembangan mutakhir menunjukkan masih terdapat jurang antara gambaran itu dengan realiti yang dihadapi masyarakat minoriti.
“Malaysia mungkin digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, namun dalam praktiknya, perkembangan mutakhir menunjukkan sesuatu yang sebaliknya,” katanya. -MalaysiaGazette
















