KLUANG – Parti Progresif Rakyat (PPP) Kluang mengambil pendekatan menyemarakkan hari kemerdekaan apabila mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai di bandar ini.
Menurut Pengerusi PPP, V Krishnan, bendera tersebut yang diedarkan secara percuma sebagai usaha membangkitkan rasa kecintaan terhadap negara.
Ketua PPP Bahagian Kluang itu berharap, inisiatif tersebut dapat memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ke 69 tahun dan menanam rasa hormat terhadap simbol negara.
“Edaran yang tertumpu kepada pengguna jalan, orang ramai serta pemilik premis ini adalah sebagai inisiatif PPP Kluang untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kemerdekaan negara yang diraikan di seluruh negara pada Ogos setiap tahun.
“Inisiatif ini adalah hasil daripada kesedaran pihak kami terhadap kepentingan untuk meraikan kemerdekaan negara bersama-sama seluruh rakyat di sini,” katanya kepada pemberita dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang di bandar ini hari ini.

Pihaknya turut berterima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan sokongan terhadap kempen itu sama ada daripada sudut tenaga kerja mahupun keperluan peralatan sehinga dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Pengedaran secara percuma ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk membangkitkan rasa cinta pada negara dan pelbagai lagi acara akan diadakan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, pemasangan bendera Jalur Gemilang memberikan maksud tersirat tentang kecintaan pada negara.
Jelasnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, tradisi tersebut harus dijadikan amalan setiap rakyat apabila tiba bulan kemerdekaan.
“Kesedaran ini harus dipupuk dari peringkat generasi muda agar ia terus tersemai bahawa pentingnya kemerdekaan kepada sesebuah negara yang pernah dijajah satu ketika dahulu.
“Kita amat mengharapkan pengedaran bendera ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk sama-sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan di bandar ini pada tahun ini serta tahun-tahun akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette
















