KOTA TINGGI – Identiti tiga mangsa yang maut dalam nahas dua kereta di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini semalam sudah dikenal pasti.
Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan penumpang, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, manakala pemandu Honda City, Muhamad Amin Mukhtar, 35.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 5.25 petang semalam.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Toyoya Vios berkenaan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan berkenaan kejadian itu pukul 5.05 petang.
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamatan termasuk rescue cutter dan pengusung.- MalaysiaGazette
















