JASIN – Tiga cedera selepas sebuah bas persiaran membawa 11 penumpang terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang sedang bergerak perlahan di Kilometer 177.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu turut tular di media sosial selepas dikongsikan pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz menerusi akaun Instagram miliknya.
Aaron memaklumkan bas dinaiki sepupunya itu terbalik menyebabkan ramai penumpang cedera dan meminta bantuan awal daripada mereka yang berada berhampiran lokasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata, nahas itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi terdapat sebuah lori di hadapan bas berkenaan yang telah memperlahankan kenderaan.
“Pemandu bas, lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai cuba mengelak daripada melanggar lori berkenaan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kejadian itu, tiga penumpang cedera dan dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu tidak cedera.
“Seorang penumpang lelaki berusia 59 tahun yang juga pemandu pelancong mengalami kecederaan di bahagian kaki dan sedang menerima rawatan di Zon Hijau.
“Dua lagi penumpang wanita masing-masing pelancong British dan Singapura berusia 62 dan 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Zon Kuning serta Zon Hijau,” katanya.
Lee Robert berkata, lapan lagi penumpang termasuk warga Singapura, Britain, Filipina, China dan seorang rakyat Malaysia, tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati tiada saksi awam di lokasi dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka diperoleh setakat ini.
“Semakan mendapati punca awal kemalangan dipercayai akibat pemandu gagal mengawal kenderaannya dan akan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jasin untuk menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















