KOTA TINGGI – Keluarga kepada seorang seorang penunggang yang maut kemalangan di Kilometer 53.3, Lebuh Raya Senai-Desaru di sini, pada 23 Ogos lalu menafikan kejadian tersebut berpunca kerana melanggar belakang sebuah kereta yang membrek secara mengejut.
Adik mangsa, Ferdaus Mohamed mendakwa, berdasarkan siasatan dan penelitian rakaman papan pemuka, kejadian tersebut berlaku bukan seperti yang didakwa.
“Laporan yang menyatakan bahawa Honda City yang dipandu wanita tempatan berusia 33 tahun masuk simpang kanan sebelum membrek mengejut dan mangsa dikatakan datang dari arah belakang lalu tidak sempat mengelak adalah tidak tepat.
“Abang saya bukan kemalangan kerana sekadar melanggar belakang sebuah kereta yang membrek secara mengejut ketika masuk ke simpang kanan.
“Sebaliknya, berdasarkan kejadian sebenar, kereta tersebut dipercayai telah membuat pusingan U (U-turn) di tengah lebuh raya, menyebabkan abang saya yang sedang melalui laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran,” katanya yang menghubungi portal MalaysiaGazette.
Jelasnya, laporan tersebut menyebabkan orang ramai menganggap Allahyarham abangnya sebagai pihak yang cuai dalam kejadian.
“Malah, terdapat netizen yang telah membuat komen dan mengecam penunggang motosikal berdasarkan laporan tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, portal ini melaporkan kejadian tersebut yang berlaku pukul 4.50 petang melibatkan motosikal dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah Honda City yang dipandu wanita tempatan itu masuk simpang kanan dan brek mengejut.
“Kemudian motosikal jenis Aveta Vanguard 250 ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















