KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyatnya yang khianat terhadap parti.
Malah, bagi maksud pengosongan kerusi, Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, semua itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung malam tadi.
“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin sebagai presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi, untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama katanya, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu juga diambil antaranya dengan melantik tiga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Tambah beliau, turut diputuskan pada mesyuarat itu perubahan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri yang mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Berstau Selangor baharu, manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan.
“Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini,” ujanya.
Selain itu beliau berkata, beberapa lantikan Pegerusi Biro baharu juga telah dilakukan iaitu Datuk Dr. Radzi Jidin (Biro Ekonomi); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa), Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan) serta Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu. – MalaysiaGazette

















hukum karma.. pengkhianat sembang tentang dikhianati