KUALA LUMPUR – Polis telah menahan empat remaja disyaki memukul dua orang pelajar sekolah menggunakan paip PVC dan batang besi di hadapan sebuah sekolah di Kajang Selangor 14 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai satu pergaduhan melibatkan pelajar sekolah pada pukul 3.04 petang.
Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Sungai Long.
“Dalam kejadian itu dua orang pelajar sekolah telah diserang oleh sekumpulan lelaki berbangsa Cina terdiri daripada lebih kurang 10 orang menggunakan senjata paip PVC dan juga batang besi bagi mencederakan mangsa sebelum kesemua suspek melarikan diri menaiki dua buah kenderaan berbeza.
“Kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun itu telah menerima rawatan di Hospital Kajang dan disahkan alami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat dipukul suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zaid, kejadian pergaduhan pelajar sekolah itu turut tular di laman sosial Facebook yang memaparkan aksi pergaduhan dimana waktu kejadian merupakan waktu tamat sesi persekolahan pagi.
Justeru katanya, video berdurasi 16 saat berkenaan pantas menerima pelbagai reaksi dan komen dari pengguna laman sosial tersebut.
Sehingga ke hari ini, tangkapan telah dibuat oleh polis ke atas empat orang lelaki berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun.
“Keempat suspek telah ditahan sekitar kawasan Ampang pada 18 Mac lalu dan kini direman sehingga bagi membantu siasatan lanjut pihak polis.
“Saki baki suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu masih giat diburu polis dan punca kejadian masih tidak dapat dipastikan serta sedang disiasat polis,” ujarnya.
Tegasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-978 8804.- MalaysiaGazette















