Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dipercayai terlibat menerima wang RM19 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM3.6 bilion ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 28 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk terus mendiamkan diri serta cuba menunding jari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Barisan Nasional dalam skandal projek mega terowong dasar laut di negeri itu sangat menghairankan.

Apa yang lebih mengejutkan ialah bapa kepada Guan Eng, Penasihat DAP,  Lim Kit Siang yang lantang dan vokal apabila menyuarakan rasa tidak puas hati, terutama dalam isu-isu membabitkan salah guna kuasa serta  rasuah hanya mendiamkan diri dalam isu itu.

Baru-baru ini, syarikat pembinaan terowong dasar laut yang dilantik Guan Eng melakukan kejutan apabila membuat laporan terhadap dua induvidu berpangkat ‘Datuk’ yang mendakwa diri mereka mampu menutup kertas siasatan oleh SPRM terhadap salah laku serta unsur rasuah dalam projek mega itu.

Kedua-dua suspek yang kini ditahan reman oleh SPRM didakwa telah menerima hampir RM22 juta bayaran menjadi ‘orang tengah’ bagi menutup siasatan terhadap Zenith Construction Sdn Bhd.

Peliknya, Zenith Construction Sdn. Bhd. yang baru berusia 82 hari dengan modal berbayar RM300,000 kekal menjadi kontraktor tunggal dalam projek itu dan sehingga kini Guan Eng enggan menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara itu.

Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang berusia 59 tahun itu ditahan untuk disoal siasat berikutan wujudnya elemen rasuah.

Suspek kemudian mendedahkan dua nama ‘Datuk’ yang mahu membantunya untuk ‘menutup’ kes skandal itu.

Ini sekaligus membuktikan ada sesuatu yang tidak kena namun Guan Eng bersama kuncu-kuncunya masih lagi mahu mendiamkan diri berhubung isu ini dan yerus menyerang kerajaan BN.

Bagaimana dan mengapa Zenith Construction Sdn Bhd mempunyai dana yang banyak sanggup membayar individu-induvidu ini dengan jutaan ringgit dalam pembinaan terowong dasar laut?

Sebelum ini, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendesak Guan Eng menjelaskan sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa atau campur tangan politik dalam penganugerahan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ka Siong berkata, ini kerana Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. iaitu syarikat khas (SPV) yang dilantik menerajui projek bernilai RM6.34 bilion itu mengakui tidak memenuhi syarat modal berbayar minimum bernilai RM381 juta.

Sambil menyifatkan kenyataan dikeluarkan SPV berkenaan sebagai ‘menghairankan’, Ka Siong turut mempersoalkan mengapa syarikat khas itu tetap dianugerahkan projek tersebut walaupun jelas tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Tetapi Guan Eng dan yang lain-lain sibuk menyoal intergriti SPRM tidak memanggil ahli politik BN untuk disiasat dalam isu ini. Dalam bab menyalahkan kerajaan, mereka memang sangat pantas.

“Kita juga mahu tahu bagaimana syarikat seperti Zenith ini boleh membayar wang ‘konsultan’ sehingga berjuta-juta untuk menutup siasatan.

“Mengapa Guan Eng berdiam diri sahaja? Banyak persoalan yang telah tanya namun peliknya bab menyerang mereka berani.

“Bagaimana pula dengan pertanyaan kita tentang  China Railway Construction Corporation Malaysia Bhd. (CRCC) yang disahkan  hanyalah satu daripada beberapa kontraktor yang dikatakan terlibat dalam membuat laporan kajian kebolehlaksanaan projek bernilai RM305 juta, jelas bercanggah dengan kenyataan Guan Eng bahawa CRCC adalah kontraktor utama. Semua ini gagal di jawab oleh beliau. Pelbagai misteri dan dakwaan salah guna kuasa mengantui pembinaan terowong dasar laut ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast