Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak tujuh laporan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Daripada jumlah itu, dua kertas siasatan dibuka dengan dua tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 4 (A) Akta Pilihan Raya 1954/Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4 (a) Akta Pilihan Raya 1954 melibatkan ubah suai logo UMNO (lambang keris diganti roket) serta meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, lima lagi kes tidak mempunyai unsur jenayah dan dirujuk kepada laporan sama serta tindakan pencegahan oleh polis Hulu Selangor.

“Bagi memastikan setiap kempen dan ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, polis Hulu Selangor sentiasa membuat pemantauan di setiap kempen dan ceramah yang diadakan.

“Hasil pemeriksaan polis, sebanyak 57 kempen berpermit dengan ceramah berpermit sebanyak 40.

“Jadi, jumlah keseluruhan permit yang dikeluarkan adalah sebanyak 97,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Sasikala turut menasihatkan semua pengundi agar keluar lebih awal pada 11 Mei ini bagi mengelakkan kesesakan trafik selain mematuhi langkah-langkah dan nasihat pegawai pilihan raya bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan selamat dan lancar.

“Semua calon parti dinasihatkan tidak menyentuh isu-isu 3R (agama, bangsa, raja) semasa berkempen.

“Jika mana-mana calon parti tidak mematuhi peraturan ini, mereka boleh disiasat di Bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mjultimedia (AKM) 1988,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast