Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai berjumlah RM200 di bawah inisiatif Budi Madani pada 10 Jun 2024.

Kementerian Kewangan berkata, penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama melalui akaun bank penerima.

Manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani.

Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.

Menurutnya, permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024.

Budi Madani ialah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak; terbahagi kepada bantuan individu (Budi Individu), petani serta pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) dan syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Kementerian Kewangan berkata, bagi membendung kenaikan kos sara hidup, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel bersasar kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu.

Manakala, bantuan tunai RM200 disediakan kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu, seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.

Menurut Kementerian Kewangan, berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan adalah atas sebab tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, terdapat pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di kementerian yang berkenaan.

Bagi pemohon individu yang tidak diluluskan, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.

Pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu, sebelum mengemukakan permohonan Budi Madani.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara emel di [email protected] Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast