Dua beradik perempuan antara empat ditahan kes pecah masuk dan larikan barang kemas Kieda Crepe.

BUTTERWORTH – Dua beradik perempuan antara empat suspek ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah serta larikan barang kemas bernilai RM800,000 milik usahawan pencuci mulut, Kieda Crepe di Kepala Batas, dekat sini, pada April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, masing-masing dua wanita dan dua lelaki berumur 20 hingga 27 tahun itu ditahan di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, tangkapan jam 9 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara sebaik kesemua suspek selesai prosiding membabitkan satu kes pecah rumah di ibu negara.

Zulkeflee.

“Menerusi tangkapan itu, pihak polis turut merampas sejumlah barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit. Bagaimanapun, kita akan panggil pengadu (Kieda) untuk membuat pengecaman.

“Kesemua suspek yang berasal dari negeri di selatan tanah air dan Pantai Timur itu direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, dengan tangkapan empat suspek ini kita percaya berjaya selesaikan kes pecah masuk dan larikan barang kemas usahawan (Kieda) tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkeflee berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek ini aktif dalam kegiatan pecah masuk rumah pempengaruh di negara ini.

Isnin lalu media melaporkan, seorang usahawan pencuci mulut mendakwa mengalami kerugian RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas dipecah masuk pada April lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Siti Nur Khalieda Yusra iaitu pemilik Kieda Crepe di beberapa platform media sosial miliknya selepas 40 hari kejadian berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast