KUALA LUMPUR – Pencemaran udara yang mengganggu penduduk di perumahan berhampiran seperti di Taman Toh Kee Kah dan Taman Mewah, Port Dickson Negeri Sembilan pada 19 Jun lalu disebabkan kebocoran pada tiub dandang di sebuah premis penapisan minyak mentah di kawasan itu.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, proses penapisan minyak mentah telah dihentikan dengan segera bagi tujuan keselamatan, gas yang terhasil disalurkan ke unit flare untuk pembakaran sebelum dilepaskan ke udara.
Ia kerana pembakaran di unit flare tersebut telah menyebabkan pelepasan asap hitam berikutan pembakaran gas yang tidak sempurna.
Sehubungan itu, semua proses telah dihentikan untuk tindakan pembaikan di dandang oleh pihak premis. JAS juga telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) supaya
pihak premis mengemukakan program pemantauan berdasarkan Peraturan 22(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
“Sebelum beroperasi semula, pihak premis telah memaklumkan penduduk berhampiran pada 2 Julai 2024 berhubung proses startup yang dijadualkan bermula 3 hingga 6 Julai 2024.
“Penduduk juga telah dimaklumkan terdapat kemungkinan gangguan bersifat sementara seperti bunyi bising dan pelepasan asap hitam dari unit flare sepanjang tempoh startup tersebut.
“Walau bagaimanapun, pihak premis perlu memastikan pelepasan asap tersebut tidak lebih gelap daripada kegelapan No. 2 dalam Carta Ringelmann selama agregat yang kurang daripada lima minit dalam mana-mana tempoh satu jam, dengan
syarat tempoh keseluruhan pelepasan itu tidak melebihi agregat 15 minit dalam mana-mana tempoh 24 jam sebagaimana yang dinyatakan di bawah Peraturan 12 (2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” kata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan di sini.
NRES turut mengingatkan semua pihak industri tindakan tegas di bawah Akta 127 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar. – MalaysiaGazette















