Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Pengundi Melayu didakwa kekal menjadi pengundi teras Perikatan Nasional (PN) bermula sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu hingga kini.

Lantaran itu, PN kekal menjadi parti mainstream Melayu buat masa ini, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dakwanya, majoriti pengundi Melayu telah menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) P.Pinang sebelum ini dan jumlah itu meningkat di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kali ini.

“Ini bermakna gabungan PH-BN gagal mendapat kepercayaan daripada majoriti pengundi Melayu. Kegagalan itu semakin bertambah parah,” katanya yang merumuskan lapan punca terhadap kekalahan teruk PH-BN di PRK Sungai Bakap semalam.

Rumusan kedua ialah penyokong UMNO menolak gabungan PH dan BN kerana terdapat sejumlah pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi atau tidak memberikan undi kepada PN di dalam PRN yang lalu.

Pengundi Melayu berkenaan adalah penyokong tegar UMNO.

“Mereka tidak keluar mengundi mungkin kerana UMNO tidak meletakkan calon di dalam PRN yang lalu. PRK kali ini, didapati mereka keluar mengundi dan memberikan undi kepada PN. Walaupun mereka ahli UMNO, namun mereka protes terhadap gabungan PH+BN.

“Sokongan penyokong Umno terhadap PN kali ini nampaknya sama seperti gelombang yang berlaku di dalam PRU15 dan PRN Kedah sebelum ini,” ujarnya.

Selain itu, pengundi Cina dan India protes, tidak keluar mengundi apabila kekurangan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi-pengundi tersebut amat ketara, terutamanya pengundi Cina.

Afnan Hamimi berkata, dalam PRN sebelum ini, pengundi Cina memberi undi kepada PH namun kali ini mereka mengambil sikap tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap dasar-dasar PH dan BN yang menjejaskan mereka, terutamanya dalam aspek ekonomi.

Lantaran itu, PH gagal dapat sokongan pengundi teras mereka sendiri di dalam PRK kali ini, selain pengundi atas pagar tidak memihak kepada PH.

Tambahnya, kekalahan calon PH membuktikan para pengundi tidak hiraukan ‘ugutan’ Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang ketika berkempen menyebutkan jika pengundi memilih calon PN, ia akan menyukarkan hubungannya berkenaan dengan kerajaan negeri.

Bahkan, beliau juga menyebutkan Ahli Dewan Undangan Negeri PN berkenaan sukar beri perkhidmatan kerana tiada peruntukan khusus.

“‘Ugutan’ ini dilihat bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi menggunakan umpan kebendaan. Walhal, soal hak sama rata dan peruntukan YB Pembangkang inilah yang diperjuangkan partinya sebelum PRU15 yang lalu.

“Nampaknya, pengundi Sungai g Bakap tidak menghiraukan langsung ‘ugutan’ ini. Bahkan, ‘ugutan’ YB TKM1 inilah yang mungkin menjadi punca PHBN dihukum teruk oleh pengundi. Pengundi menolak mereka yang berjanji tapi tidak tunai janji,” tambahnya.

Kekalahan calon yang diletakkan oleh Kerajaan Perpaduan jelas para pengundi tidak termakan janji projek pembangunan yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Afnan Hamimi berkata, Zahid masih mengamalkan politik lapuk, dengan cara menaburkan janji manis kononnya akan ada dua projek dilaksanakan di bawah kementeriannya jika gabungan PH dan BN memang di dalam PRK.

“Nampaknya, janji Presiden Umno itu langsung tidak dipercayai oleh para pengundi. Lebih malang, pengundi dalam kalangan penyokong tegar Umno juga sudah tidak mempercayai Presiden mereka.

“Pengundi Umno nampaknya berani memberikan mesej langsung kepada presiden mereka supaya UMNO perlu dipulihkan daripada sakit yang tenat,” hujahnya.

Tambah beliau, PRK kali ini memberikan imej yang amat buruk kepada gabungan kerjasama PH dan BN yang merupakan pemegang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dakwanya, segala jentera kerajaan dikerahkan untuk bekerja memenangkan PHBN. Sudah tentu perbelanjaan yang tinggi diperuntukkan untuk operasi mereka di dalam PRK kali ini.

“PHBN cuba sedaya upaya mempamerkan imej terbaik dalam gabungan mereka. Namun semua itu gagal. Segala paparan di media dan lakonan di pentas gagal memberikan imej yang baik kepada pengundi.

“Tagline Kerajaan Perpaduan gagal diterjemahkan di dalam PRK ini. Atau mungkin sebenarnya tidak wujud perpaduan dalam kalangan mereka,” tambahnya.

Afnan Hamimi turut mendakwa anak muda menolak PH dan BN kerana hampir semua saluran mengundi anak muda di dalam PRK kali ini kekal bersama PN, bahkan jumlah itu semakin meningkat berbanding PRN yang lalu.

Beliau turut menganggap keputusan PRK Sungai Bakap semalam sebagai ‘Anak murid beri ‘hadiah’ yang mengecewakan cikgu’.

Dakwanua, Presiden UMNO menyebutkan jika gabungan beliau bersama ‘cikgunya’ (PMX) menang, ia merupakan hadiah untuk PMX.

“Nampaknya, hadiah yang diberi kali ini amat mengecewakan PMX.

Apa jadi jika seorang murid mengecewakan cikgunya? Mungkin murid itu akan ditukarkan ke kelas yang lain. Atau, mungkin dibuang sekolah!,” ujarnya yang menyimpulkan keputusan PRK wajarnya menjadi titik penyesalan atas segala ‘dosa’ dan kesilapan yang dibuat oleh PH dan BN semasa memegang tampuk kuasa kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.