KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian dengan tertangkapnya sembilan individu, termasuk empat remaja, dalam serbuan di sebuah kediaman di Sungai Besi, di sini, Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket tersebut menjadikan kediaman mewah sebagai markas operasi dengan mensasarkan warga China yang tinggal di Malaysia sebagai mangsa.
“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan dipercayai berperanan sebagai operator panggilan dan pengurus data di pusat panggilan penipuan tawaran kerja tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Daripada sembilan individu yang ditahan berusia antara 14 hingga 40 tahun itu, dua perempuan dan lima lelaki adalah warga China.
Menurut Ramli, pemeriksaan membawa kepada rampasan 18 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba, lima set komputer, serangkai anak kunci beserta kad akses, satu set skrip perbualan, sebuat router dan sebuah bagasi.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai memulakan operasi pada Januari lalu dan mengendalikan platform ‘LEHUIGOUA’ yang digunakan sebagai laman sesawang menyerupai platform e-dagang.
“Kita mendapati platform ini dipromosikan sebagai tempat yang sah untuk membeli barang atau perkhidmatan namun pada hakikatnya ia adalah muka hadapan untuk skema penipuan yang lebih besar mensasarkan mangsa kalangan warga China.
“Justeru, platform berkenaan mendakwa kononnya mereka berkolaborasi dengan platform e-dagang terkenal seperti Taobao, Tmall dan JD.com,” ujarnya.
Ramli berkata, melalui skrip perbualan sindiket itu mendakwa mangsa berpeluang mendapatkan komisen hasil penjualan barangan dan mangsa yang berminat bekerja melalui platform terbabit akan dimasukkan dalam kumpulan Telegram untuk tujuan komunikasi dan pemberian arahan.
Katanya, komisen yang dijanjikan sindiket itu berubah-ubah daripada 0.3 peratus hingga 0.6 peratus dengan janji memperolehi pendapatan tinggi yang digunakan sebagai umpan menjerat mangsa.
Jelas beliau, siasatan polis mendapati sindiket terbabit mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform itu yang membolehkan mereka mengubah data kredit dan keuntungan selain menunjukkan kewujudan transaksi palsu bagi mempengaruhi mangsa.
Ramli memberitahu, lima daripada sembilan suspek yang ditahan kini direman sehingga 26 Julai ini manakala empat remaja dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette
















