Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani

KUALA LUMPUR- Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Izani Ghani sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu, berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan berkata, Izani memiliki pengalaman tiga dekad dalam bidang pelaburan dan pengurusan, dicalonkan ke jawatan itu oleh Kementerian Kewangan.

Beliau juga merupakan bekas ahli lembaga pengarah MAHB selama sembilan tahun bermula 2011 hingga 2019.

“Beliau mempunyai pengalaman luas lebih tiga dekad dalam bidang pelaburan dan pengurusan dan sebelum pelantikannya di MAHB, Izzani pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif UEM Group Bhd. pada 1 Januari 2019 sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat berkenaan pada 1 Ogos tahun yang sama,” kata kenyataan itu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom itu pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan di Khazanah Nasional sebelum menyertai UEM Group.

Beliau juga pernah mengetuai Pejabat Serantau Turkiye dan menerajui beberapa transaksi sukuk sebagai Ketua Pegawai Kewangan.

Dalam pada itu, Pengerusi MAHB, Dr Nungsari Ahmad Radhi menzahirkan keyakinan beliau terhadap pelantikan Izani.

Katanya, pengalaman peneraju baharu MAHB itu dalam bidang lapangan terbang dan infrastruktur yang digabungkan dengan kepimpinannya, mampu membawa Kumpulan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam kenyataan sama, MAHB turut mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan yang juga pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom berkuatkuasa hari ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Rastam dilantik CFO Kumpulan RHB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast