Nuur Thibrani didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ibu kepada tiga cahaya mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tipu urusan jual beli emas yang dilelong Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang membabitkan kerugian RM116,256 pada tahun lalu.

Tertuduh, Nuur Thibrani Mohamed Ibrahim, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa telah memperdayakan seorang wanita berusia 53 tahun untuk mempercayai bahawa tertuduh berupaya mendapatkan emas yang dilelong oleh pihak IPK Pulau Pinang.

Ia sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM116,256 kepada tertuduh dengan cara memasukan wang tersebut ke empat akaun bank yang diberikan tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sentral College Penang di Jalan Penang di sini antara 15 Oktober hingga 21 November 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan dikenakan denda.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh diwakili peguam yang hanya ingin dikenali sebagai Fikri meminta jaminan dikurangkan atas alasan hanya suami tertuduh menanggung perbelanjaan mereka enam sekeluarga termasuk ibu bapa kepada tertuduh yang menghidap kencing manis serta sakit jantung.

“Selain itu, anak guam saya turut terpaksa menjual kereta serta menggunakan wang simpanan keluarga untuk kelangsungan hidup susulan akaun bank miliknya serta suami dibekukan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 September depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast