Kumar menunjukkan dadah yang akan dilupuskan polis selepas mendapat perintah mahkmah di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Polis Johor hari ini melupuskan 989.21 kilogram (kg) dan 7,479.9 liter dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernnilai RM68.88 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, jumlah itu lebih 12 kali ganda berbanding nilai dadah yang dilupuskan pada tahun lalu iaitu RM5.43 juta.

“Selain dadah, polis Johor turut melupuskan pelbagai peralatan memproses dadah yang dirampas ketika serbuan dilakukan.

“Semua dadah terbabit adalah berkait dengan 6,630 kes yang sudah berjaya diselesaikan dari 2000 hingga 2023,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir wakil Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd, Sharifah Noorul Aini Syed Abdullah.

Katanya, pada tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 322.13 kg dan 1,562.6 liter cecair dadah bernilai RM5.43 juta.

Jelas beliau, semua dadah berkenaan membabitkan 3,214 kes yang telah diselesaikan.

“Hari ini, JSJN akan mepuskan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine, MDMA, daun ketum dan pelbagai jenis dadah lain semuanya berjumlah 989.21 kg dan cecair dadah 7,479.9 liter yang mengandungi bahan-bahan dadah berbahaya,” katanya.

Menurutnya, semua kes yang membabitkan dadah itu sudah berjaya diselesaikan iaitu dituduh, disabitkan hukuman dan melalui proses rayuan.

Daripada sudut perundangan ujarnya, barang-barang yang akan dilupuskan hari ini telah selesai sepenuhnya dari sudut perundangan dan proses mahkamah.

Kumar berkata, semua proses pelupusan itu akan dibuat di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan yang membabitkan kos RM73,000.

Proses membawa dadah ke tapak pelupusan itu ujarnya, akan diiring dan dikawal ketat pihaknya sehingga selesai proses pelupusan yang dijangka dilaksanakan hari ini.

Pada masa sama, Kumar berkata, JSJN sentiasa komited dalam memastikan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini dibasmi hingga ke akar umbi.

“Proses atau perjuangan ini akan berterusan. Kita harap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast