Dr. Sirajuddin Suhaimee.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah selesai menyiapkan laporan lengkap berhubung sebuah video tular di media sosial melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan para pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah untuk tindakan susulan serta bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu terbabit secara tuntas.

Menjelaskan kandungan video itu, tambah beliau, ia menunjukkan sekumpulan pelajar dalam satu majlis sedang mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka yang mana qasidah tersebut didakwa mengandungi bait-bait ayat dalam Bahasa Arab yang memuji guru mereka secara keterlaluan.

“Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap pencerahan JAKIM mengenai isu itu dapat meredakan isu terbabit dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkaitan kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengarahkan  JAKIM menyediakan laporan berkenaan kejadian seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab yang videonya tular di media sosial.

Menurut Mohd. Na’im, JAKIM juga sudah diarahkan untuk membawa kes itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau yang menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast