KUALA LUMPUR- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) mengumumkan tujuh pemenang Program MYHackathon 2024 Kohort 1.
MOSTI dalam kenyataan berkata, pemenang kohort 1 bakal menerima geran bersyarat bernilai sehingga RM250,000 untuk melaksanakan pembangunan projek rintis.
Mereka juga akan mendapat akses kepada bimbingan pelaksanaan projek secara one-to-one untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Tambah kenyataan itu, kesemua pemenang turut berpeluang bekerja secara rapat dengan pemilik pernyataan masalah bagi memperhalusi rancangan pelaksanaan solusi mereka.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam ucapan pada majlis perasmian penutup program itu berkata, beliau kagum dengan kualiti penyelesaian yang diketengahkan para peserta.
“MYHackathon bukan hanya platform untuk menguji kebolehan, tetapi juga medan strategik untuk mencungkil bakat baharu dan menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan.
“Saya amat kagum dengan kualiti penyelesaian yang diketengahkan oleh para peserta.
“Idea-idea ini bukan sahaja praktikal, tetapi juga inovatif, selari dengan iltizam Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dan visi ekonomi MADANI.
“Ini bertepatan dengan usaha memperkukuh pembangunan bakat dan memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara,” katanya.
Untuk rekod, program tersebut berjaya menarik lebih 500 penyertaan daripada kumpulan serta syarikat berdaftar daripada seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Kesemua peserta telah menjalani sesi bootcamp selama dua minggu dan sesi pementoran secara one-to-one daripada mentor bertaraf dunia sebelum 23 finalis dipilih bagi sesi penyampaian ‘Demo Akhir’ yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, Program MYHackathon yang diadakan pada setiap dua tahun telah berjaya mencungkil bakat-bakat baharu yang luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia serta menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, keusahawanan, dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta. -MalaysiaGazette















