MUAR – Seorang remaja autisme yang hilang dari rumahnya di Bakri, di sini, sejak semalam ditemukan mayatnya terapung-apung di Jeti Marina Bay, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mayat remaja lelaki tersebut yang berusia 14 tahun ditemukan pada pukul 7.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan pihak polis mendapati mayat yang dijumpai menunjukkan persamaan dengan pakaian terakhir yang dipakai semasa hilang.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) di sini bagi tujuan pengecaman dan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah kematian mengejut (SDR).
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyaisat, Asisten Superitendan Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290, Hotline di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada IPD Muar ditalian 06-9566001 atau mana-mana balai berdekatan.
Terdahulu katanya, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu di IPD Muar pada pukul 3.25 petang semalam.
Lelaki berkenaan yang berusia 50 tahun katanya, memaklumkan anaknya iaitu pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) telah keluar dari rumah tanpa pengetahuannya.
Katanya, bapa mangsa yang juga OKU penglihatan memaklumkan kali terakhir berjumpa anaknya pada 11.30 malam kelmarin.- MalaysiaGazette
















