BATU PAHAT – Seorang lelaki yang terjatuh dari Jambatan Bindu, Tongkang Pecah di sini semalam ditemukan mayatnya hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba, Ayub Majid berkata, mayat Lim Yu Feng, 27, ditemui berhampiran Jambatan Sengkuang pada pukul 11.05 pagi.
“Mayat lelaki tersebut ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh. Mayat kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu lelaki berkenaan dilaporkan terjatuh dalam Sungai Simpang Kanan di sini selepas kereta digunakannya ditemui di tepi jalan atas jambatan itu semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, kejadian itu dimaklumkan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun.
Menurutnya, wanita tersebut merupakan ibu saudara mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Menurut wanita itu, kereta digunakan oleh anak saudaranya itu ditemui atas Jambatan Bindu dengan semua dokumen diri serta telefon bimbitnya ditinggalkan dalam kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut oleh ahli keluarga lelaki berkenaan turut menemui sepasang selipar diletakkan atas jambatan tidak jauh daripada kenderaan berkenaan,” ujar Shahrulanuar Mushaddat.- MalaysiaGazette
















