KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini beliau menerima derma berjumlah RM304.2 juta daripada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah pada 2011, seminggu selepas beliau membuka akaun peribadi AmIslamic.
Bekas Perdana Menteri berkata, meskipun derma politik itu tidak diterima secara langsung daripada akaun peribadi Raja Abdullah, dana itu didepositkan daripada Kementerian Kewangan Riyadh yang merupakan institusi kewangan Arab Saudi.
Ujar Najib, selain itu beliau turut menerima sejumlah RM311.1 juta daripada cucu Raja Abdullah, Putera Faisal dan Putera Saud Abdulaziz Al Saud dan beliau percaya Almarhum yang mengarahkan mereka berbuat demikian.
Ketika ditanya peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin tanggapannya sewaktu menerima dana berkenaan, Najib berkata, beliau percaya derma itu munasabah kerana raja selaku pemegang kuasa tertinggi boleh mengarahkan insitusi itu mengagihkan dana bagi pihaknya sebagai derma.
Ujar Najib, oleh kerana dana yang besar diterima daripada sumber ternama seperti institusi kewangan dan dua putera raja Arab Saudi, beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai dana tersebut dari sumber yang menyalahi undang-undang.
Keterangan kes menunjukkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima AS$99,999,976.00 daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan Riyadh antara 24 Februari 2011 dan 29 November 2011.
“Tak terbayang walau seinci syak wasangka bahawa dana daripada entiti Arab Saudi boleh menjadi haram.
“Jadi cadangan bahawa dana itu bukan secara langsung daripada Raja Abdullah adalah tidak munasabah,” ujar beliau ketika membaca pernyataan pembelaannya.
Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri itu selanjutnya berkata, beliau menerima empat surat pengesahan dari Kerajaan Arab Saudi berkaitan derma yang diterimanya.
Menurut beliau, surat berkenaan memainkan peranan penting sebagai pemahaman dan bukti bahawa dana itu sememangnya derma daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Saya tidak mempunyai sebab untuk meragui keasliannya. Berdasarkan pemahaman ini, saya benar-benar percaya dana itu sumbangan sah dari Kerajaan Arab Saudi. Kepercayaan tersebut membimbing saya menggunakan dana mengikut tujuan yang dinyatakan,” ujar Najib.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – MalaysiaGazette















