KUALA LUMPUR – Polis telah menahan dua lelaki tempatan berumur 22 dan 24 tahun dí kediaman masing-masing berhubung insiden pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi pada malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis memandang serius berhubung kejadian in dan menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, pada 21 Disember lalu, polis menerima menerima satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di stesen LRT itu melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak yang bertindak agresif sehingga menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit ketika kejadian itu.
Dalam video yang tular itu, seramai 20 hingga 30 individu dikesan melakukan rusuhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan ketika tren tiba di platform terbabit.
Terdapat sekumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.
Mereka bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.
Insiden menyebabkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit sebelum pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meleraikan pergaduhan itu. – MalaysiaGazette
















